
Bendahari PKR Cabang Hulu Selangor Dr Halili Rahmat yang disebut-sebut berpotensi dipilih sebagai calon PKR menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk membuat pilihan terbaik.
"Perkara ini saya serah kepada pucuk pimpinan partilah," katanya ketika diminta mengulas desas-desus mengenai "kedudukan selesanya" bagi berdepan dengan calon BN dalam pilihan raya kecil 25 April ini.
Daripada lima nama yang diserai-pendek sebagai calon PKR di Hulu Selangor, Dr Halili dan penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, lebih berpeluang dan berkemungkinan besar akan dicalonkan, kata beliau.
Bagaimanapun, penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menukar keputusan tersebut pada saat-saat akhir. Dr Halili yang dilihat rapat dengan keluarga Anwar sejak tercetusnya peristiwa Reformasi pada tahun 1998 masih mahu terus berdiam diri tentang perkara tersebut.
"Kita tunggu dan lihatlah keputusan parti. Minggu depan sahaja ia akan diumumkan," katanya. Dr Halili - yang juga seorang pakar bedah saraf - sebelum ini pernah bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor pada tahun 2004. Bagaimanapun beliau tewas kepada calon BN Palanivel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan