Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) digesa supaya lebih
agresif menolak fitnah dan persepsi negatif yang cuba dilakukan
pembangkang di saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13).
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, jentera parti itu perlu
lebih berhati-hati terutamanya ketika berhadapan dengan pelbagai isu
yang dibawa pembangkang bagi merosakkan imej kerajaan.
"Jangan mudah terpedaya dengan fitnah pembangkang yang cuba memburuk-burukkan parti dan pemimpin-pemimpin kita.
"Ingatlah pilihan raya kali ini adalah pertembungan antara kebenaran
dan fitnah, kita perlu berhati-hati dengan strategi pembangkang,"
katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya
Pemuda BN Parlimen Tanjong Karang di sini, Isnin malam.
Katanya jentera parti itu perlu memgambil iktibar daripada kekalahan
BN pada PRU 2008 apabila pembangkang berjaya menafikan majoriti dua
pertiga di Parlimen.
Tegas beliau yang juga Ketua Pemuda Umno, pilihan raya umum yang lalu
menyaksikan pembangkang menabur pelbagai fitnah hingga berjaya
meyakinkan rakyat demi meraih sokongan politik.
"Kita mesti ingat apa yang berlaku pada 2008. Pilihan raya tahun itu
menyaksikan persepsi dan fitnah ditaburkan secara bermaharajalela oleh
pembangkang.
"Kali ini kita mesti bekerja keras untuk memastikan perkara seumpama itu tidak berlaku lagi," katanya.
Selain itu Ahli Parlimen Rembau itu berkata, tempoh empat tahun yang
diberikan kepada pembangkang pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
mentadbir Selangor sudah cukup untuk rakyat membuat penilaian tentang
kemampuan mereka.
Jelas beliau kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim terbukti gagal mentadbir negeri berkenaan apabila
banyak manifesto pilihan raya umum yang lalu tidak ditunaikan
sepenuhnya.
"Sebelum 2008 mungkin kemampuan mereka tidak teruji, tapi dalam
tempoh empat tahun ini akhirnya kita telahpun membuat penilaian dan
ujian terhadap mereka. Menteri Besar tak mampu tunaikan janji. Janji nak
beri air percuma kepada rakyat Selangor tidak dipenuhi.
"Sekarang buat pula janji baru nak berikan pendidikan percuma kalau
mereka menang di peringkat Persekutuan. Ini semua bohong...kalau mampu,
kerajaan negeri sepatutnya mulakan dengan Unisel (Universiti Selangor).
"Tapi mereka tak buat, malah pendidikan peringkat pra-sekolah pun mereka tak boleh bagi percuma," katanya.
Tambahnya lagi kerajaan Selangor juga berhadapan dengan pelbagai
masalah termasuk yang terbaru membabitkan penstrukturan semula hutang
Talam Corporation.
Katanya Menteri Besar gagal menjawab isu yang didedahkan MCA malah
masih berdolak-dalik mengenai Kertas Putih berhubung hutang tersebut.
Baru-baru ini Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong
membuat kenyataan mendakwa penstrukturan hutang Talam Corporation dan
kerajaan Selangor membabitkan transaksi berjumlah RM1 bilion, sekalipun
jumlah hutang hanya RM392 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan