Ketua Pemuda UMNO Negeri, Khairul Azwan Harun menggelar Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai badut dan jalang politik kerana masih meneruskan pembohongan berhubung isu ‘ancak’ melibatkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke serata negeri.
Menurutnya, gelaran itu dibuat berdasarkan sikap serta tingkah laku bekas Menteri Besar itu yang dilihat agak melampau sejak akhir-akhir ini.
“Semua gelaran itu juga masing-masing mewakili karakter bekas Menteri Besar itu sejak kebelakangan ini.
"Beliau sanggup memperbodohkan diri sendiri, gemar mempolitikkan segala hal yang berlaku dan sanggup menggadaikan maruah bangsa dan agama demi kepentingan politiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Bangunan UMNO Perak, di sini semalam.
Hadir sama, Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri, Mohamad Annuar Ariffin.
Khairul Azwan berkata, pihaknya bakal mengedarkan satu juta VCD ke seluruh negeri bagi memberi penerangan sebenar terhadap semua fitnah yang dibawa oleh Nizar kepada masyarakat.
Katanya, ini kerana perkara itu telah pun diperjelaskan dalam Sidang Dewan Negeri baru-baru ini dan tuduhan upacara ancak adalah bertentangan dengan apa yang sebenarnya berlaku.
“Dalam sidang dewan berkenaan juga, Nizar telah membaca apa definisi ancak berdasarkan penerangan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka yang sama sekali bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh Menteri Besar.
“Oleh itu, pihak Pemuda UMNO Negeri mengutuk keras fitnah yang masih terus disebarkan pihak Pas,” katanya.
Sementara itu, Khairul Azwan mendesak Nizar memberi jawapan terhadap isu memegang lilin yang dilakukannya bersama barisan kepimpinan DAP suatu ketika dahulu bagi menghormati kematian Teoh Beng Hock yang juga adalah Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liew.
Katanya, perbuatan berkenaan jelas bertentangan dengan akidah Islam sebagaimana dakwaan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.
“Nizar perlu memberi penjelasan sepenuhnya terhadap perkara berkenaan kerana kita juga memiliki bukti-bukti lain untuk didedahkan kepada rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan