Memutuskan sama ada Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi
sebagai penerima anugerah paling berprestij bagi pemain di rantau
Eropah, Ballon d'Or pastinya bukan mudah. Anugerah bola emas ini
diberikan kepada pemain yang benar-benar terbaik dalam Liga Eropah.
Maka milik siapakah anugerah bola emas pada tahun ini?
Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA, Sepp Blatter juga bingung. Selepas memberikan kuliah di Geneva, Switzerland tidak berapa lama dahulu, lelaki berusia 76 tahun itu melahirkan pandangannya.
"Kita berhadapan dua pemain dengan permainan yang berbeza, malah personaliti mereka juga berbeza . Ini situasi yang menarik buat dunia bola sepak kerana bagi saya, ia sangat luar biasa," ujarnya.
Pelbagai spekulasi timbul tentang siapakah yang lebih berhak menerima Ballon d'Or. Laman informasi yang memberi statistik tentang bola sepak, Bleacherreport seperti memihak kepada Lionel Messi berdasarkan jumlah gol pada musim 2011-2012. Dalam tempoh itu Messi berjaya menjaringkan 73 gol sementara Ronaldo meledakkan 60 gol.
Pemerhati sukan, Gabriele Marcotti yang menulis untuk ESPN juga sukar membuat pemilihan malah mengingatkan yang penilaian tidak harus hanya bersandarkan angka statistik kedua-dua pemain hebat itu. Apatah lagi, setiap gol yang dijaringkan tidak boleh dianggap sama dengan mana-mana jaringan gol yang lain.
Katanya ada banyak nilai lain pada pemain yang harus dipertimbangkan bagi menentukan siapa yang terbaik di antara kedua-duanya. Marcotti memberikan beberapa angka statistik dalam tempoh 1 Januari-10 Oktober 2012 berkaitan pelbagai model penilaian untuk kedua-dua pemain.
Mari lihat jumlah perlawanan di kelab. Messi bermain dalam 45 perlawanan dan menjaringkan 56 gol keseluruhan. Manakala Ronaldo menyumbat 48 gol dalam 43 perlawanan.
Namun sudah tentu tidak semua gol boleh dikatakan sama nilainya. Ada yang dijaringkan dengan sukar, ada pula yang kebetulan mudah. Seperti apa yang dikatakan oleh Marcotti, daripada satu hat-trick dalam satu perlawanan, gol pertama mungkin adalah gol yang paling berharga. Justeru, sebagai sebuah nilai untuk prestasi pemain, hanya satu gol yang layak dikira.
Jika model seperti itu menjadi ukuran, maka kedudukan Ronaldo mengatasi Messi, dengan skor 27:23. Bahkan khusus untuk La Liga, kedudukannya 20:17. Perbandingan ini menunjukkan bahawa Ronaldo lebih banyak melakukan hat-trick berbanding Messi.
"Pastinya model ini boleh dipertikaikan," ujar Marcotti.
Satu lagi kategori lain ialah dengan melihat nilai mereka terhadap pasukan yang diwakili ketika menentang 10 kelab terbaik di La Liga. Melalui model ini yang tetap melihat jumlah gol dijaringkan, kedudukan Ronaldo adalah lebih baik berbanding Messi, iaitu 18:12.
Bagaimana pula dengan prestasi ketika menentang pasukan kuat dari liga negara lain, seperti Jerman, Inggeris dan Itali pada Liga Juara-Juara?
Jika itu yang menjadi ukuran, Messi jelas mengatasi Ronaldo dengan lapan gol dalam empat perlawanan. Sementara Ronaldo pula tiga gol daripada tiga perlawanan.
Bagi kedua-dua kelab tempat dua pemain itu bernaung iaitu Barcelona dan Real Madrid, boleh jadi perlawanan yang paling mencabar ialah El Clasico. Daripada enam kali perlawanan sepanjang 2012 itu, Messi menyumbat 7 gol sementara Ronaldo 4 gol.
Berdasarkan prestasi ketika membela negara masing-masing dalam perlawanan antarabangsa, Messi tetap mengatasi Ronaldo. Daripada enam perlawanan, Messi meledakkan sembilan gol manakala Ronaldo hanya lima gol menerusi 11 perlawanan.
Kecemerlangan Messi tidak terhenti di situ. Jika mengambil kira umpan kepada rakan sepasukan yang menghasilkan gol, Messi melakukannya sebanyak 10 kali sedangkan Ronaldo enam kali.
Di sebalik kehebatan mereka, kedua-duanya memiliki personaliti yang bertentangan. Messi lebih merendah diri dan bersedia untuk berkongsi manakala Ronaldo pula sering menampakkan egonya ketika berada di padang.
sumber
Bhai Perakkume...
BalasPadamPergh.. lama tak update blog aaa.... hahaha
C++
CipanTapirTenuk.Blogspot
halooo bhai
Padammasa amat terhad...