Pengikut

Khamis, 4 April 2013

MAMPUKAH PR PERAK TAWAN SEMULA NEGERI?



Dewan Negeri Perak Ke-12 dibubarkan secara rasmi semalam selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, serentak dengan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selepas ini, parti politik baik di pihak kerajaan ataupun pembangkang akan bertarung secara terbuka untuk memenangi 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

PRU-13 boleh diadakan seawal 20 April ini dengan penamaan calon diadakan pada Rabu depan berikutan pembubaran Parlimen semalam.

Namun, SPR dijangka menganjakkan hari penamaan calon pada 13 April manakala hari pengundian pada 27 April selepas mengambil kira kedua-dua tarikh itu adalah cuti hujung minggu.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, pengundian biasanya diadakan pada Sabtu, penamaan calon pula lazimnya diadakan 10 hari selepas pembubaran.

Sehingga 22 Februari lalu, sejumlah 1,409,774 pemilih berdaftar diwartakan di negeri Perak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jumlah Daftar Pemilih Induk (DPI) mengikut kawasan Parlimen ialah 32,814 (Grik); 46,695 (Larut); 51,524 (Parit Buntar), 54,915 (Bagan Serai); 71,401 (Bukit Gantang); 78,327 (Taiping); 28,572 (Padang Rengas); 51,709 (Sungai Siput); 89,582 (Tambun); 82,025 (Ipoh Timur); 77,920 (Ipoh Barat); 87,747 (Batu Gajah); 33,607 (Kuala Kangsar); 49,314 (Beruas); 33,600 (Parit); 63,776 (Kampar); 97,243 (Gopeng); 45,592 (Tapah); 51,626 (Pasir Salak); 88,473 (Lumut); 40,031 (Bagan Datoh); 60,620 (Teluk Intan) dan 64,641 (Tanjung Malim).

Berdasarkan kedudukan kerusi Parlimen dan DUN sebelum pembubaran, BN mempunyai 13 kerusi Parlimen, 29 kerusi DUN, PAS (Parlimen-2, DUN-6); DAP (Parlimen-6, DUN-16); PKR (Parlimen-2, DUN-5) dan Bebas (Parlimen-1, DUN-4).

Dalam PRU-12, BN gagal mempertahankan pemerintahan di Perak tetapi berjaya membentuk kerajaan pada 6 Februari 2009 apabila dua Adun PKR dan satu DAP keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai calon Bebas.

Dua Adun PKR iaitu ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang), Mohd Osman Jailu (Adun Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang).

Sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan exconya melaksanakan pelbagai pembaharuan untuk memakmur dan mensejahterakan negeri Perak.
Gagasan Perak Amanjaya dengan slogan Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir diperkenalkan untuk mendekati dan menyelami denyut nadi rakyat di serata pelusuk negeri.

Program turun padang dan Hari Bertemu Rakyat pada setiap Selasa yang dianjurkan secara terbuka oleh Menteri Besar ternyata berjaya menyelesaikan banyak masalah rakyat dalam tempoh empat tahun yang lalu.
Hasil pengurusan yang cekap, pertumbuhan sosio-ekonomi negeri Perak semakin rancak sekaligus berjaya mengutip hasil berjumlah RM905 juta pada tahun lalu, berbanding jangkaan awal RM785 juta sahaja.
Lebih hasil disalurkan kepada pembangunan negeri melalui projek pembangunan membaiki jalan dan memasang lampu jalan manakala 8,000 kakitangan awam negeri juga tidak ketinggalan menerima insentif RM500 seorang seperti yang diumumkan Menteri Besar semalam.

Berdasarkan rekod cemerlang BN dalam tempoh empat tahun lalu, rakyat Perak sewajarnya membuat penilaian dengan bijaksana demi menjamin masa depan yang lebih cerah.

Sebagai Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memaklumkan pihaknya tidak hanya menumpukan kepada kawasan tertentu sahaja sebaliknya memberi tumpuan kepada semua kawasan bagi memastikan kemenangan dalam PRU-13.

Persiapan awal katanya, sudah dilakukan dan senarai calon juga hampir dimuktamadkan dan hanya menunggu lampu hijau daripada PM untuk diumumkan secara rasmi.

PRU-13 ini pastinya menjadi pertandingan sengit kepada BN apabila semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertanding di Perak sebagai usaha untuk melonjakkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Walaupun belum diumumkan secara rasmi, beberapa blog tempatan menyebut Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bakal bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Timur yang dimenangi Lim Kit Siang daripada DAP pada 2008.

Sebelum ini, Pemuda PAS negeri Perak mencadangkan Anwar bertanding di Parlimen Lumut, kerusi yang ditandingi calon MCA.

Mengulas desas-desus Anwar bertanding di Perak, Zambry dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco baru-baru ini, berkata pihaknya tidak gentar untuk berhadapan cabaran itu dan meminta rakyat penilaian sewajarnya terhadap tindakan Ketua Pembangkang itu yang meninggalkan kerusi Permatang Pauh.

“Tidak menghairan saya jika beliau mengambil keputusan bertanding di Perak atau Selangor dan kita sama sekali tidak akan gentar dengan cabaran itu,” katanya.


-peraktoday -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan