Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Datuk Mohd Khusrin Munawi menegaskan, beliau tidak akan menghadiri mana-mana mesyuarat termasuk mesyuarat mingguan Exco pagi ini selagi tidak mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Kata Khusrin, sebagai penjawat awam beliau akan bertindak mengikut undang-undang yang sedia ada.
“Saya ingat selagi saya tidak angkat sumpah di hadapan Menteri Besar, saya tidak boleh masuk dalam (menghadiri) mesyuarat. Angkat sumpah itu adalah untuk menyimpan rahsia, jadi saya tidak akan masuk dan saya juga tidak dimaklumkan mengenainya.
“Saya ikut undang-undang, kalau tidak angkat sumpah simpan rahsia itu, saya tidak akan masuk,” kata beliau ketika dihubungi sini pagi ini.
Mesyuarat Exco hari ini akan diadakan pada pukul 10 pagi. Ia mesyuarat pertama sejak Khusrin memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
sini juga difahamkan Menteri Besar yang akan menghadap Sultan Selangor pagi ini akan mempersembahkan permintaan agar majlis angkat sumpah taat setia esok membabitkan Khusrin ditangguhkan.
Perkara itu disahkan oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang dihubungi semalam dan difahamkan ia antara perkara yang diputuskan pada pertemuan wakil rakyat-wakil rakyat perikatan itu petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad yang mengesahkan perkara itu antara lain berkata, beliau difahamkan Khalid akan membawa permintaan tersebut apabila menghadap Sultan pada pertemuan rutin pagi ini.
Khalid dijangka menghadap Sultan sekitar 9 pagi.
“Memang ia antara permintaan yang akan dibawa oleh Tan Sri Menteri Besar. Selain itu Datuk Khusrin juga tidak dijemput hadir mesyuarat Exco pagi ini,” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor.
Kata beliau, permintaan itu akan dipersembahkan bagi membolehkan isu semasa diselesaikan.
Kerajaan negeri memutuskan untuk memboikot kesemua majlis membabitkan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dan majlis angkat sumpah simpan rahsia tidak akan dijalankan sehingga pertikaian itu selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan