Penasihat undang-undang Umno-BN Datuk Hafarizam Harun mendakwa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah melampaui batasan kuasanya ekoran tindakan beliau menghalang Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru daripada menjalankan tugas beliau.
Katanya, tindakan menghalang pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai ketua pegawai kerajaan negeri akan mengganggu perjalanan perkhidmatan awam Selangor.
Beliau juga mendakwa langkah Menteri Besar (gambar) itu mencetuskan satu situasi yang bahaya, yang boleh dicabar di mahkamah.
“Jika benar bahawa Menteri Besar akan menghalang Setiausaha Kerajaan Negeri daripada menjadi sebahagian daripada Exco ataupun menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri, jawapan saya ialah beliau tiada kuasa untuk berbuat demikian sebab kuasa untuk sertai (sidang DUN dan Exco) adalah kuasa perlembagaan yang diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sebaik beliau dilantik,” kata beliau.
Oleh itu kata Hafarizam, Menteri Besar mesti membenarkan beliau untuk menghadirinya.
“Menteri Besar tidak boleh mengendalikan perkhidmatan awam negeri. Secara perundangan, Menteri Besar tidak boleh campur tangan dalam proses pentadbiran negeri harian.
“Menteri Besar tidak boleh memberi arahan kepada perkhidmatan awam kecuali beliau (Menteri Besar) bertindak melalui Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu,” kata beliau.
“Ini kerana ketua perkhidmatan negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.
Pada sidang media petang tadi, Khalid berkata, kerajaan negeri Selangor bercadang mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.
Beliau berkata, pindaan itu bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Khalid berkata, dalam pertemuan beliau dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi, baginda berpandangan baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon bagi memegang jawatan eksekutif berkenaan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan,” katanya.
Khalid menghadap Sultan Selangor di Istana Mestika di sini bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan