Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata lawatan Rosmah Mansor ke luar negara turut berperanan membantu mempromosikan Malaysia dan mengukuhkan hubungan dua hala.
Beliau berkata Rosmah bijak menggunakan kedudukannya sebagai isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan negara yang dilawatinya.
Katanya kewibawaan Rosmah diiktiraf oleh negara dan kerajaan luar apabila sering mendapat jemputan untuk menjadi tetamu rasmi dan menyampaikan ucaptama pada persidangan terutama yang berkaitan pendidikan kanak-kanak dan wanita serta pembangunan sosial.
"Datin Seri Rosmah memang cerdik dan pandai. Di sebalik Perdana Menteri, ada isteri yang menolong beliau," katanya lagi ketika ditanya pemberita dalam membantu kempen BN di Tenang.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan parti pembangkang semasa kempen PRK DUN Tenang ,bahawa isteri PM itu menghabiskan duit rakyat dan mengambil kesempatan terhadap kedudukan suaminya untuk melancong di luar negara.
Anifah berkata Kementerian Luar berbesar hati sekiranya isteri Perdana Menteri itu dipelawa untuk menjadi tetamu kerajaan negara luar di masa akan datang kerana percaya Rosmah akan menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin untuk membantu rakyat Malaysia, terutama berkaitan pendidikan kanak-kanak dan pembangunan sosial.
Beliau memuji usaha gigih dan inisiatif Rosmah semasa di luar negara dalam membantu kerajaan mencari idea dan penyelesaian dalam memperbaiki kehidupan rakyat, sekaligus mempromosikan nama Malaysia kepada masyarakat luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan