TAJUK: BEBAN RAKYAT SEMAKIN MENINGKAT
Kenaikan harga bawang besar baru-baru ini mengakibatkan pelbagai pihak mengeluh termasuk peniaga dan juga pembeli.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Pekan Bidor, di sini, mendapati harga sekilogram bawang besar dijual sekitar RM5 berbanding sebelumnya yang menunjukkan kenaikan harga begitu ketara.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali Ganesh berkata, kenaikan harga bawang besar menyebabkannya terpaksa menjual barangan itu mengikut harga pasaran.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan masalah kerana pengguna kini sudah kurang membeli bawang akibat kenaikan harga secara mendadak.
“Bawang bukan sesuatu barangan yang boleh disimpan lama kerana ia akan busuk dalam jangka masa pendek.
“Sekiranya bawang yang diperoleh daripada pemborong ini tidak dapat dijual maka, kami akan menanggung kerugian yang banyak kerana terpaksa membeli dengan harga mahal,” katanya kepada Sinar Harian.
Ganesh berkata, sebelum ini kedainya menjual bawang yang diimport dari India dan dapat dijual dengan harga sekitar RM1.80 sekilogram.
Katanya, namun kini pihaknya menerima bawang yang diimport dari Pakistan dan perkara itu menyebabkan kos bawang yang dijual turut meningkat.
“Diharap masalah ini tidak akan berpanjangan kerana ia bukan sahaja menyukarkan pengguna malahan peniaga yang terpaksa menanggung kerugian sekiranya bawang tidak dapat dijual,” katanya.
Pengguna, Noraini Yahya, 53, berkata, kenaikan harga bawang itu menimbulkan kesukaran kepada pengguna.
Menurutnya, kebanyakan masakan memerlukan keperluan asas berkenaan, perkara itu perlu dipandang serius oleh semua pihak.
“Sukar untuk masak kerana bawang yang menjadi bahan asas masakan kini begitu mahal dan menyukarkan kami golongan bawahan ini.
“Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan, maka ia akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada kami kerana dibebani dengan kenaikan pelbagai harga barangan masa kini,” katanya.
Noraini berkata, sudah tiba masanya untuk negara tidak lagi bergantung kepada barangan import sebaliknya berusaha menghasilkannya sendiri.
Katanya, kebergantungan terhadap bawang import menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos kenaikan harga barangan itu.
“Usaha untuk kita menghasilkan tanaman ini dengan lebih proaktif perlu dilaksanakan dengan lebih baik.
“Bukan hanya bawang tetapi terhadap semua barangan import supaya masalah ini tidak timbul lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pengguna Daerah Batang Padang, Ismail Arshad berkata, pihaknya turut menerima pelbagai aduan dan rungutan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga bawang itu.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama wakil Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah.
"Kami tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berkaitan masalah kenaikan ini.
"Usaha yang boleh dilakukan ialah dengan memantau harga barangan ini dari semasa ke semasa," katanya.
Katanya, pemantauan bertujuan mengenal pasti punca kenaikan harga bawang sama ada sememangnya kos barangan sudah naik atau ia tindakan peniaga.
“Segala maklumat yang diterima akan dimaklumkan kepada PPDNKK dalam usaha kita menangani masalah ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan