Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda Shuhaimi Shafiei, yang sebelum ini didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi tulisan blog, 30 Disember lalu.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, jika tulisan Shuhaimi itu dianggap sebagai “penderhaka” bagaimana pula dengan tindakan Umno yang menarik kuasa Raja-raja Melayu pada 1993.
“Itu adalah istilah biasa, kalau tulisan Shuhaimi ditaktifkan sebagai penderhaka bagaimana dengan kenyataan pemimpin Umno di Terengganu dan Kelantan dan semasa meminda perlembagaan?
“Jadi sekarang ada dua Malaysia, satu mempertahankan kekebalan pemimpin Umno dan kedua untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Shuhaimi sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi yang mendakwa beliau menghina Sultan Selangor “beraja di mata, bersultan di hati” dalam blognya pada 30 Disember lepas.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata sindiran Shuhaimi yang menyatakan baginda seolah-seolah sebagai “beraja di mata, bersultan di hati” adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat.
Kata beliau, kenyataan Shuhaimi itu boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci baginda.
Shuhaimi bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan bersedia menghadap Sultan Selangor untuk memohon maaf.
Dalam blog itu, Shuhaimi antara lain, mendakwa jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.
Malah, wakil rakyat itu menerusi kenyataan dalam blog berkenaan seolah-olah turut memberikan gambaran amaran kepada institusi beraja Selangor supaya “tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana”.
Shuhaimi berkata demikian dengan mengulas isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.
Sejak Khusrin diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak bersetuju dengan pelantikan itu, yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Dalam sidang media sama, Anwar turut menyentuh soal suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock yang akan memfokus pada prosedur-prosedur siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata kemungkinan tiada sebarang tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat walaupun keputusan sudah dicapai.
“Dalam kes Teoh Beng Hock walaupun suruhanjaya diraja ditubuhkan tapi hanya mempunyai kuasa yang terhad.
“Kalau keputusan dibuat saya tidak rasa akan ada tindakan. Sebagai contoh kes VK Lingam, begitu juga kes mata lebam saya... tiada tindakan yang diambil walaupun ada bukti baru,” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneruskan keputusan dibuat 17 Julai 2099 untuk mewujudkan suruhanjaya diraja, dengan terma-terma khusus, bagi mengkaji kaedah soal siasat yang diguna pakai SPRM dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang Teoh.
Suruhanjaya itu yang akan diwujudkan di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 akan menyiasat perjalanan dan pengurusan SPRM serta di mana sesuai, menyiasat kelakuan mana-mana pegawai SPRM.
Mahkamah Koroner sebelum ini memutuskan punca kematian Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan