DARIPADA semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini, cuma Melaka
dan Johor yang tarikh bubar DUNnya lebih awal dari jangka hayat mandat
kerajaan sedia ada memerintah berakhir berkuat kuasa 28 April 2013.
Tarikh pembubaran DUN kedua-duanya ialah pada 21 April tahun depan.
Yang lain pula melibatkan Selangor ialah pada 22 April 2013, Perak
(25 April), Perlis, Kelantan, Negeri Sembilan (28 April), Pulau Pinang
(2 Mei), Kedah dan Sabah (5 Mei), Terengganu (7 Mei) dan Pahang pada 20
Mei. Sarawak pula sidang DUNnya bermula 22 Jun tahun lepas.
Ketika sebahagian besar rakyat negara ini, yang majoritinya pastinya
mahu kerajaan melengkapkan tempoh mandat penuh memerintah lima tahun
dalam menjayakan agenda transformasinya, ia tentunya akan mencatat satu
sejarah kali pertama ia dilakukan bukan dalam 'tempoh edah'. Dan
tentunya juga kita tertanya-tanya bagaimana dengan kedudukan Melaka dan
Johor dalam keadaan 'mandat memerintah kerajaan negeri berkenaan sudah
berakhir'.
Atau yang kita panggil elemen kerajaan sementara (caretaker government).
Isu 'sah atau tidak' kerajaan sementara ini pernah dibangkitkan oleh
Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum PRU Ke-12 yang kemudian memfailkan
saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan
Malaysia bagi menuntut perisytiharan agar kerajaan sementara mengambil
alih kerajaan dalam tempoh antara tarikh pembubaran Parlimen sehingga
penubuhan Kabinet baru selepas pilihan raya.
Kit Siang turut menuntut perisytiharan bahawa dalam tempoh tersebut,
kerajaan sementara itu hanya melaksanakan pentadbiran harian kerajaan
tanpa apa-apa kuasa berhubung dasar kebangsaan, peruntukan kewangan awam
atau penggunaan kemudahan-kemudahan awam semasa kempen pilihan raya
umum nanti.
Dan menjelang PRU-13 ini, isu kerajaan sementara ini dibangkitkan
lagi antara dalam 22 syor untuk dikaji oleh Jawatankuasa Penambahbaikan
Pilihan Raya.
Jawapan SPR kepada isu ini ialah badan ini akan membuat
kajian berhubung langkah untuk menyediakan garis panduan dan kod etika (code of conduct)
yang perlu dikenakan terhadap kerajaan sementara semasa tempoh selepas
pembubaran Parlimen sehingga kepada selesainya urusan pengundian.
Perkara ini, tegas SPR, perlu bagi menjamin wujudnya keadaan
pertandingan yang adil atas landasan yang sama rata dalam kalangan semua
parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, isu kerajaan sementara ini bukan baru. Pada 1970-an,
sifat dan elemen kerajaan sementara ini dipersoalkan oleh satu pihak di
mahkamah. Ketika itu, tindakan menteri berkenaan, Tengku Razaleigh
Hamzah dipersoalkan kerana mengumumkan satu bantuan untuk rakyat semasa
Parlimen telah dibubarkan untuk menghadapi pilihan raya umum.
Keputusan mahkamah bagaimanapun akhirnya memutuskan bahawa kerajaan
sementara masih berhak memberikan bantuan kepada rakyat semasa tempoh
Parlimen bubar asalkan ia tidak melibatkan kepentingan peribadi calon
pilihan raya.
Dengan ini juga bermakna semua menteri dan timbalan menteri semasa
tempoh kerajaan sementara masih boleh menggunakan peruntukan untuk
rakyat.
Antaranya seperti memberi bantuan kewangan untuk membaiki jambatan
usang, baik pulih sekolah daif dan memberi sumbangan kepada mangsa
banjir. Cuma asalkan jangan dikaitkan dengan 'undilah saya'.
Fungsi kerajaan sementara berlaku selepas Parlimen dibubarkan yang
urusan itu ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong serta diuruskan
oleh Jabatan Perdana Menteri.
Maka, apa yang wujud dalam struktur kerajaan ialah kerajaan sementara
yang semata-mata mentadbir negara mengikut lunas-lunas Perlembagaan.
Namun ia bukan bermakna kerajaan sebelumnya tidak berkuasa. Cuma, yang
lupus hanyalah amalan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Juga hak lupus yang kerajaan sebelumnya tidak boleh laksanakan ialah
meluluskan peruntukan undang-undang dan dasar baru menerusi kuasa
Parlimen. Peruntukan undang-undang menerusi Parlimen baru tidak boleh
dibuat. Namun begitu, kuasa-kuasa di bawah semua undang-undang yang
diluluskan oleh Parlimen sebelum bubar boleh dilaksanakan terus oleh
kerajaan sementara.
Satu lagi aspek kerajaan sementara ialah ia membawa pengertian
mengambil alih kerja-kerja pentadbiran. Ia selaras dengan amalan
berkerajaan dunia dan Komanwel semasa Parlimen dibubarkan sehingga Dewan
Parlimen baru diwujudkan semula, maka kerajaan sementara itu hendaklah
secara berhati-hati menjalankan tugasnya. Ini bermakna secara minimum
kerajaan sementara menyudahkan sahaja kerja-kerja pentadbiran yang
dilaksanakan.
Namun, sekiranya muncul sebarang peristiwa yang memerlukan tindakan
tegas misalnya yang menghendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan
tugas penguatkuasaan undang-undang, maka perkara itu masih boleh
diteruskan oleh kerajaan sementara. Ia bukan bermakna kuasa itu
dihentikan.
Hakikatnya dalam semua amalan Komanwel yang berasaskan undang-undang
Common Law dan amalan berkerajaan berparlimen dunia, Malaysia sebenarnya
telah lama menghormati amalan itu sejak merdeka.
Dalam aspek ini jika Perdana Menteri berdepan dengan sesuatu darurat,
beliau sebenarnya masih boleh menggunakan Perkara 150 Perlembagaan
Persekutuan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong sewajarnya serta
melaksanakan apa juga tugas sedia ada di bawah undang-undang.
Antaranya, Perdana Menteri masih boleh memberi arahan sedia ada, cuma
untuk memperkenalkan undang-undang yang memerlukan kelulusan Parlimen
sahaja tidak boleh.
Apa pun, Perlembagaan Malaysia tidak memperuntukkan kewujudan sifat
kerajaan sementara. Ini kerana ia merupakan satu Konvensyen Berparlimen
yang telah menjadi amalan dan adat negara-negara di dunia.
Masih boleh pihak tertentu mempertikaikan kewujudan kerajaan
sementara ini, namun konvensyen berkerajaan dunia ini menjadi terasnya
(untuk dikekalkan).
Dalam hal ini, umum tentunya masih mengingati pertikaian mengenai
sifat kerajaan sementara ini yang pernah menarik perhatian ramai pada
persidangan Dewan Rakyat 1999 selepas Barisan Nasional (BN) meraih
semula majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 29 November tahun
tersebut.
Ini berlaku setelah Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan notis
memanggil mesyuarat pada 13 Disember tahun itu iaitu dua hari sebelum
Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun)
membentuk Kabinet.
Semasa itu, kesemua 43 ahli Parlimen pembangkang yang hadir bertindak
keluar dari Dewan Rakyat sebagai membantah notis mesyuarat tersebut
kerana mendakwa ia dikeluarkan secara tidak sah kerana ketika itu
Kabinet baru belum dibentuk.
Namun, beberapa pengamal undang-undang berpendapat keputusan kerajaan
memanggil persidangan Dewan Rakyat sebelum pembentukan Kabinet itu
tidak melanggar aturan urusan mesyuarat atau mencabuli Perlembagaan
negara.
Tindakan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan notis
memanggil mesyuarat Parlimen, menurut mereka adalah perkara biasa, yang
boleh dilakukan oleh Perdana Menteri mewujudkan sebuah kerajaan
sementara.
Penulis undang-undang, Salleh Buang semasa memberikan komennya ketika
itu berkata, lazimnya bagi sebuah negara demokrasi, Yang di-Pertuan
Agong perlu mendapat nasihat daripada pengerusi Kabinet atau menteri
Kabinet sebelum mengeluarkan notis memanggil sidang Parlimen.
Beliau menekankan, fakta kewujudan kerajaan sementara tidak boleh
diabaikan begitu sahaja seolah-olah tidak ada kerajaan langsung dari
tempoh pembubaran Parlimen sehingga Kabinet baru ditubuhkan.
Sebagai perbandingan, Salleh menarik perhatian kes yang berlaku di
India apabila kerajaan sementara di New Delhi berjalan selama enam
bulan.
Jadi dalam kes Malaysia, keadaannya adalah lebih bagus kerana tempoh
kerajaan sementara adalah singkat sahaja. Konsep kerajaan sementara ini
secara umumnya dipraktikkan di semua negara Komanwel dan Amerika
Syarikat.
Jika kerajaan yang memerintah sekarang merancang mahu melengkapkan
tempoh mandat lima tahun memerintah, dengan PRU-13 dilangsungkan pada
April tahun depan, bermakna tiada isu lagi 'kerajaan sementara'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan