Pengikut

Khamis, 21 Mac 2013

PAKATAN RAKYAT PERAK JANGAN LUPA PERISTIWA INI.



4 FEBRUARI, 5.00 PETANG:Di PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan sidang media khas mengumumkan Adun Bota, Datuk Nasarudin kembali menyertai Bn dan tiga lagi ADUN PKR menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong BN

4 FEBRUARI, 4.30 PETANG:Di IPOH: Menteri Besar mengadap Sultan Perak.

4 FEBRUARI, 3.30 PETANG:Di IPOH: Sidang media Menteri Besar Perak ditunda pada waktu petang.

4 FEBRUARI, 2 PETANG:Di IPOH: Sidang media Menteri Besar Perak ditunda pada waktu petang.

4 FEBRUARI, 1 TENGAH HARI:Di IPOH: Menteri Besar Perakdijadual mengadakan sidang media.

4 FEBRUARI, 11.0 PAGI:Di IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibubarkan. Mesyuarat exco akan diadakan pada Jumaat.

1 FEBRUARI, 9.30 MALAM:Di IPOH: ADUN Behrang menafikan yang beliau ada menghantar surat letak jawatan kepada Speaker DUN dan mahu mencabar kesahihannya.

1 FEBRUARI, 6.40 PETANG:Di PETALING JAYA: Menteri Besar Perak hampir yakin kedua-dua ADUN Behrang dan Changkat Jering akan keluar Pakatan Rakyat.

1 FEBRUARI, 5.45 PETANG:Di IPOH: Dua ADUN perak daripada PKR yang "hilang" sejak Isnin lalu mengumumkan peletakan jawatan serta-merta. ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan itu di rumah beliau pada 5.45 petang tadi.

1 FEBRUARI, 10 PAGI: Di KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ada kemungkinan ADUN dari Pakatan Rakyat di Perak akan menyertai BN.

1 FEBRUARI, 11 PAGI: Di IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua ADUN dari PKR yang "hilang" sejak Isnin lepas supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

31 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat malam ini dengan membincangkan secara mendalam isu ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering. Ia juga beranggapan bahawa kedua-dua mereka sudah hampir pasti keluar PKR.

30 JANUARI: Di IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, kedua-dua daripada PKR, akan menyertai BN.

29 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi BN Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletak kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusi BN Perak.

25 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim keluar Umno dan BN untuk menyertai PKR dan Pakatan Rakyat.

---------------------

 Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang berusia 11 bulan tumbang dengan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar daripada Pakatan.

Kini, Barisan Nasional (BN) mempunyai kapasiti untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.
Daripada empat yang keluar hari ini termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang kembali menyertai Umno.

Pada 25 Januari lalu, Nasarudin mengambil keputusan keluar daripada Umno untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tiga yang lain akan bertindak sebagai wakil rakyat bebas dan akan menyokong BN dari luar.
Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, BN Perak kini mempunyai bilangan majoriti ADUN untuk memerintah negeri itu berikutan keputusan yang diambil empat ADUN berkenaan.

"ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah maklumkan melalui surat kepada Sultan Perak mengenai tindakan mereka keluar dari parti masing-masing semalam manakala ADUN Bota kembali kepada Umno hari ini.

"Mereka telah beri mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Negeri untuk mencalonkan nama Menteri Besar dan memberi aku janji akan bersama dan memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri oleh empat ADUN berkenaan.

Berikutan perkembangan itu, BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.

Najib berkata, walaupun BN mempunyai jumlah kerusi DUN sama banyak dengan Pakatan Rakyat tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil raktyat Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN dalam DUN termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar daripada kalangan anggota BN dan mempertahankan BN.

"Mereka tidak menyertai BN tetapi mereka adalah 'friendly independent' yang akan menyokong dan mempertahan BN dalam Dewan," katanya.

Najib berkata, sejajar dengan perkembangan ini, beliau akan menghadap ke bawah Duli Paduka Seri Sultan Perak dalam masa terdekat untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru.

Najib berkata, Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan jika Menteri Besar hilang keyakinan atau majoriti, beliau hendaklah meletak jawatan bersama anggota exconya.

Najib berkata keempat-empat wakil rakyat itu telah memaklumkan kepada Speaker DUN Perak selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

Mengenai tindakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengumumkan pembubaran DUN hari ini tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Najib berkata hanya Sultan Perak yang boleh memperkenankan pembubaran DUN.

Najib menyifatkan perkembangan terkini sebagai bermulanya era baru di Perak.

Menjawab soalan, Najib berkata keempat-empat wakil rakyat itu membuat keputusan berdasarkan kerelaan masing-masing tanpa habuan atau sogokan.

Berhubung dakwaan kes rasuah yang sedang dihadapi oleh Jamaluddin dan Mohd Osman, Najib berkata: "Itu adalah isu berbeza dan saya tidak boleh jawab mengenainya".

Ditanya sama ada perkembangan ini akan menjadi halangan kepada pembangkang dalam usaha mereka untuk membentuk kerajaan, Najib berkata, hasrat menubuhkan kerajaan dengan cara yang tidak berdemokrasi telah dimulakan terlebih dahulu oleh pembangkang.

"Ada orang yang nak tubuhkan kerajaan pada 16 September sebelum ini.

"Sudah tentu mereka (pembangkang) tidak sangka ini akan berlaku tetapi mereka yang mulakan konsep tubuh kerajaan tanpa prinsip demokrasi," katanya.

Ditanya sama ada akan ada lagi wakil rakyat daripada pembangkang yang akan menyertai BN, Najib berkata:"Kita akan tengok kepada perkembangan yang akan berlaku."



sumber: Arkib Mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan