Petikan DR 17/11/2009 (Muka Surat 41)
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya, Yang Berhormat Kinabatangan.
12.40 tgh.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih
Tuan Pengerusi.
Ada tiga perkara iaitu P.6, Butiran 18000 – Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia. B.6, Butiran 020200 – Unit Perancang Ekonomi dan juga P.6,
Butiran 71000 – Penyelarasan Program Pembasmian Kemiskinan.
Tuan Pengerusi, saya mendapat maklumat bahawa kerajaan berhasrat
untuk melupuskan Pasukan Polis Marin itu dan diganti dengan pasukan
maritim yang sedia ada.
Sekiranya ini benar-benar berlaku, maka
kebimbangan saya dan ramai lagi rakyat Malaysia terhadap keputusan ini
amat melebar, iaitu kita maklum bahawa pasukan maritim ini baru sahaja
diwujudkan di negara kita lebih kurang dua tahun atau tiga tahun.
Bayangkan bagaimana anggota Polis Marin itu sendiri telah berkhidmat
dengan Polis Marin, tetapi tiba-tiba kerajaan membuat perakuan untuk
membubarkan pasukan ini dan diambil alih oleh maritim. Ini pada saya,
dalam keadaan negara kita pada hari ini Tuan Pengerusi pun maklum,
bahawa sempadan kita terlalu luas terutama sekali di Sabah, di kawasan
Kelantan, Terengganu, Sarawak dan sebagainya.
Apabila sempadan ini luas,
maka unsur-unsur negatif jenayah penyeludupan,perdagangan manusia berleluasa.
Hari ini kita ada empat, lima pasukan pengawasan. Kita ada Polis Marin, kita ada maritim, kita ada kastam, kita ada imigresen, kita ada tentera, kita
ada Polis Hutan, macam-macam ada, tetapi masih banyak juga unsur-unsur
jenayah yang melanda di dalam negara kita.
Yang sedihnya, yang anehnya,
lapangan terbang kita juga dibolosi oleh penyeludup. Iaitu baru-baru ini
saya terbaca pagi tadi, dadah jenis Syabu dianggarkan berjuta-juta
ringgit boleh lolos dari lapangan terbang dan di hotel pula baru
ditemui. Malu kita dengan negara-negara lain.
Seharusnya lapangan
terbang yang sebegini canggih dilengkapi dengan alat-alat pengesan yang
cukup canggih sehingga apa sahaja benda dia bawa, maka boleh didapati
dengan begitu mudah, tetapi tidak tahulah bagaimana pentadbiran di
lapangan terbang ini boleh berlaku.
Jadi bayangkanlah bagaimana maritim itu sendiri boleh menguatkuasakan
undang-undang atau boleh melaksanakan tanggungjawabnya di sempadan
dengan berseorangan. Apa akan berlaku dengan negara kita? Kebimbangan
saya bahawa kita akan berhadapan dengan satu mala petaka yang mungkin
tidak boleh kita duga pada masa akan datang.
Jadi saya mencadangkan hari ini kepada kerajaan supaya hasrat untuk
membubarkan Pasukan Polis Marin itu sendiri supaya ditangguhkan dan
jangan sekali-kali mengizinkan satu badan seperti Maritim Malaysia untuk
mengambil alih tugas-tugas Pasukan Polis Marin ini sebab ia akan
mendatangkan kemungkinan-kemungkinan yang tidak boleh kita duga.
Rujukan : Hansard parlimen 17/11/2009 [sini]
http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-17112009a.pdf untuk pengesahan Parlimen 17/11/2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan