Pengikut

Rabu, 23 Februari 2011

PERAK NEWS: FROM MADHI HASAN NAIB MPN PKR PERAK

Langkah kerajaan mahu mewajibkan pegawai dan kakitangan awam yang menjawat jawatan panas mengikuti sistem penggiliran tugasan sebagai usaha memerangi rasuah bukan penyelesaian konkrit.

Naib Pengerusi Pimpinan PKR Negeri, Madhi Hasan berkata, langkah itu belum boleh menjadi penentu.


Beliau berkata, punca berlaku rasuah bukan disebabkan jawatan disandang, tetapi individu berkenaan.


“Penjawat awam perlu diperbetulkan dahulu kerana apa juga langkah dilaksanakan untuk tujuan membanteras rasuah tidak akan berjaya jika tiada kesedaran.


“Penguatkuasaan dan pemantauan perlu dilakukan bersungguh-sungguh jika mahu banteras habis-habisan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Menurutnya, mereka yang menjawat jawatan paling tinggi dalam jabatan kerajaan sepatutnya tidak melakukan rasuah kerana tangga gaji mereka lebih tinggi daripada kakitangan lain.


Madhi berkata, kerajaan perlu memperkenalkan insentif tertentu atau memberikan imbuhan kepada penjawat awam mengelak daripada menerima rasuah.


Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri, Mohamad Annuar Ariffin berkata, langkah itu bukan alternatif yang boleh menyelesaikan sepenuhnya masalah rasuah itu.


“Perbuatan rasuah ini bukan baru malah sudah pun berlaku sejak berkurun yang lalu. Biarpun sistem giliran jawatan dilakukan tetapi jika individu itu mahu melakukannya, dia tetap akan lakukan,” katanya.


Beliau berkata, ketika peringkat pegawai lagi penjawat awam itu perlu dididik untuk tidak menerima rasuah dengan memberikan pelbagai maklumat dan sebagainya.


Menurut beliau, pendedahan agama juga penting bagi menyekat gejala itu daripada terus berleluasa.


“Kita tidak boleh biarkan sehingga sampai ke peringkat ‘ikan jerung’ baru tindakan diambil. Sepatutnya mereka yang baru berjinak-jinak dengan rasuah ini harus dibendung dan diambil tindakan,” katanya.


Menurut Mohamad Annuar, penguatkuasaan undang-undang juga perlu dipertingkatkan dan pendakwaan yang lebih baik juga perlu diamalkan supaya perasuah itu tidak mudah terlepas begitu sahaja.


Kelmarin, Pengarah Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin mencadangkan langkah berkenaan selepas pihaknya membuat kajian mengenai pelaksanaan sistem penggiliran tugasan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan