Pengikut

Sabtu, 19 Februari 2011

SEMINGGU CUKUP BAGI KAMI

Tempoh kempen pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang seharusnya tidak terlalu lama bagi mengelakkan amalan politik kurang sihat termasuk provokasi yang dilakukan parti pembangkang, cadang Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.


Ketua Pemuda parti itu Datuk Fadillah Yusof berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya menetapkan tempoh kempen pilihan raya kepada sekurang-kurangnya tujuh hari bagi memastikan pilihan raya berlangsung dengan aman dan teratur.

“Idealnya tempoh kempen tujuh hari, tidak boleh terlalu lama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu mesyuarat dengan SPR di sini hari ini.

Fadillah berkata PBB sudah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua cubaan daripada parti-parti pembangkang di dunia siber.

Pada 2006, Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 24 April, dengan penamaan calon ditetapkan pada 9 Mei dan pengundian pada 20 Mei.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh kempen selama 12 hari pada pilihan raya negeri 2006 namun tindakan agresif dan taktik provokatif pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu menimbulkan kebimbangan parti pembangkang akan menggunakan strategi sama pada pilihan raya negeri akan datang.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata isu tempoh kempen pilihan raya tidak dibincangkan pada mesyuarat selama tiga jam setengah dengan para wakil parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

“Kami membincangkan beberapa perkara umum seperti bagaimana hendak mengisi borang pencalonan dengan betul dan bertukar-tukar pandangan untuk memperbaiki prosedur pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata SPR sedia mendengar apa jua cadangan konstruktif daripada mana-mana parti politik bagi memastikan pilihan raya berlangsung dengan lancer dan adil.

Selain daripada PBB, wakil parti komponen BN yang menghadiri mesyuarat itu adalah daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP). – Bernama

1 ulasan:

  1. Tuan blog,
    .
    Saya selalu mengikuti blog tuan yg popular ni dan saya ingin sama melebarkan jaringan pembaca.

    Kalau tuan tak keberatan, mintak letakkan blog saya dlm blogroll tuan.

    t/kaseh
    http://libanglibu.blogspot.com/

    BalasPadam