Pengikut

Isnin, 7 Februari 2011

PERAK NEWS: PEGAWAI KHAS ZAMBRY KADER BUAT REPORT POLIS

Pegawai Khas Menteri Besar Perak Datuk Azhar Ahmad hari ini membuat dua laporan polis berhubung kes pemalsuan dokumen yang menggunakan nama Menteri Besar serta jabatan kerajaan negeri oleh pihak tertentu bagi tujuan menipu.


Laporan pertama dibuat di balai polis Pantai Remis pada pukul 6 pagi dan laporan kedua di balai polis Sungai Senam di sini kira-kira tiga jam kemudian.

Dalam satu persidangan akhbar di pejabatnya pada Isnin, Azhar berkata laporan itu dibuat selepas pihaknya menerima dua surat menggunakan kepala surat Menteri Besar Perak dan bertanda tangan pegawai khas Menteri Besar mengenai kelulusan tanah pertanian kerajaan negeri bagi dua lokasi berasingan.

"Saya tidak pernah menandatangani mana-mana surat kelulusan tanah milik kerajaan negeri. Surat itu palsu dan ia merupakan satu pembohongan yang berniat jahat untuk memburukkan pegawai-pegawai di sini dan juga kemungkinan untuk menjejaskan reputasi Menteri Besar sendiri," katanya.

Beliau berkata surat pertama membabitkan kelulusan tanah pertanian seluas kira-kira 324 hektar di Mukim Kenering yang bertarikh pada 9 Disember tahun lalu manakala surat kedua yang juga dengan kepala surat pejabat Menteri Besar serta bertandatangan beliau, berkaitan kelulusan tanah seluas kira-kira 400 hektar di Mukim Pengkalan Hulu yang dikeluarkan pada 13 Januari lalu.

Azhar berkata kedua-dua surat itu adalah palsu serta berniat jahat, dan menurutnya beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan permohonan tanah.

"Saya mohon supaya mana-mana individu yang menerima surat sedemikian atau menjadi mangsa penipuan sindiket itu supaya buat laporan polis, selain dapatkan pengesahan lanjut daripada kerajaan negeri sebelum membuat sebarang pembayaran," katanya.

Minggu lepas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta polis menyiasat kemungkinan penglibatan 'orang dalam' dalam, kegiatan penipuan menggunakan nama beliau dan juga jabatan kerajaan yang dikesan berlaku sejak tahun lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan