Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan orang Melayu berada dalam keadaan serba salah melihat parti-parti yang dipimpin oleh orang Melayu,UMNO,PAS dan PKR kini lebih mengejar sokongan bukan Melayu hingga adakala membuat keputusan yang menyakitkan hati orang Melayu.



Bekas Perdana Menteri itu berpendapat kewujudan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan Melayu dan Islam membuktikan ada yang tidak kena dengan parti-parti politik Melayu



“Apa yang dituntut bukan Melayu sama ada baik atau buruk akan dilayan parti yang mewakili orang Melayu demi mendapat sokongan bukan Melayu,”katanya.




Kata Dr Mahathir, inilah pendirian parti yang dipimpin orang Melayu ketika ini baik UMNO , PAS maupun PKR.




“Tiga parti ini tidak lagi beri perhatian kepada orang Melayu malah kadangkala buat keputusan yang menyakitkan hati orang Melayu.




“Kini PAS boleh peluk cium orang bukan Islam untuk dapatkan sokongan sebab mereka tahu orang Melayu tiada pilihan dan menyokong mereka kerana tidak suka pada UMNO,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Negeri Selangor di Keramat, petang Sabtu yang turut dihadiri Presiden Perkasa, Datuk Paduka Ibrahim Ali.




Kata Dr Mahathir orang Melayu tidak suarakan pendirian kecuali tunggu pilihan raya.




Beliau mengingatkan adalah pentingnya rintihan orang Melayu didengar.



“Kalau dengar orang lain saja, jadi orang Melayu makin lama makin kecewa. Simpan lama-lama nanti meletup,” katanya.




Beliau menyifatkan Melayu tidak suka mengacau orang lain kerana tidak mahu dianggap penentang atau racist, beliau memberi contoh kesan pilihan raya umum 2008 bagaimana mereka berpaling tadah.

“Mereka hanya kata, kami akan sokong. Sebaliknya, rakyat yang kecewa berpaling padah dan kesannya apa yang berlaku pada pilihan raya umum ke 12 lalu.




“Apabila mereka tolak UMNO, barulah pemimpin Melayu sedar bahawa dengan menguasai parti tidak bermakna mereka dapat menguasai orang Melayu keseluruhan,” kata Dr Mahathir.




Menurut Dr Mahathir, orang Melayu kini dalam keadaan serba salah.




“Orang Melayu sejak dahulu setia pada raja dan pemimpin hingga tidak berani menegur pihak berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, rakyat berpendapat, jika tidak sokong parti pemerintah, parti lawanpun teruk juga.




“Maka rakyat tiada pilihan. Kerajaan serta pimpinan parti pula anggap Melayu akan sokong sebab tiada pilihan.




Dr Mahathir menegaskan, kewujudan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan Melayu dan Islam membuktikan ada yang tidak kena dengan parti-parti politik Melayu.

Beliau berkata, orang Melayu lebih suka perdengarkan pendapat, rintihan dan rasa kecewa melalui NGO termasuk Perkasa berbanding berjuang dalam mana-mana parti.




Sehubungan itu katanya, parti politik kena dengar bisikan orang Melayu jika mahu menang pilihan raya.

“Kemenangan mungkin tidak besar tetapi jika terhakis kerana gerakan NGO ini, parti boleh kalah.




“Jangan main-mana dengan NGO. Mereka ada keluarga dan boleh jadi jumlahnya besar. Peluang kemenangan tipis jika tiada undi golongan tidak puashati ini,” tegasnya.

Katanya, walaupun jumlah mereka tidak besar tetapi ianya boleh tentukan menang atau tidak sesuatu parti politik.




Dr Mahathir berkongsi pengalaman ketika pilihan raya menentang allahyarham Yusof Rawa apabila beliau tewas disebabkan anggap boleh menang jika bukan Melayu yang kecil tidak mengundinya.




“Kenyataan itu sebabkan 3,000 undi lari dan PAS yang menang,” katanya.




Beliau turut mendedahkan mengenai sikap murah hati pemimpin terdahulu memberikan kira-kira 1 juta kerakyatan kepada bangsa lain hingga Melayu bukan lagi majoriti.




“Mungkin generasi pertama berterima kasih tetapi generasi baru ingin lupakan sikap murah hati ini. Bangsa lain lempar tuduhan bertalu-talu sebab Melayu lemah, bermurah hati dan tidak mahu menjawab kerana akan dituduh racist,” katanya.




Dalam sidang media selepas itu, Dr Mahathir mengulas perkara sama berkata, Melayu tidak suka mengacau orang lain.




“Dulu masa saya komplen pasal jambatan (bengkok) umpamanya, mereka tak mahu keluar, tak mahu protes.



Bila mai pilihan raya, baru mereka undi parti lawan. Rugilah macam itu.,” katanya.