Pengikut

Isnin, 25 Januari 2010

PARTI SPDP SARAWAK BERGOLAK






Pergolakan politik berlaku dalam Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) apabila ada sesetengah anggota dan pemimpin parti itu dikatakan bercadang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

EGM yang dicadangkan itu, untuk menerima semula dan mengekalkan status quo anggota jawatankuasa parti yang menyaksikan beberapa perubahan yang dilakukan oleh presiden parti Datuk William Mawan Ikom Sabtu lepas.



Kemuncak pergolakan itu ialah sesetengah anggota dan pemimpin menentang langkah beliau menggugurkan setiausaha agung parti Sylvester Entri dalam rombakan tersebut.

Mereka mendakwa bahawa rombakan itu bertentangan dengan "satu perjanjian" yang dicapai oleh pucuk pimpinan SPDP bahawa status quo dikekalkan setelah pemilihan parti itu diadakan akhir bulan lepas, di mana hampir semua anggota jawatankuasa mengekalkan kedudukannya tanpa pertandingan.

Selepas pemilihan parti, Entri dilantik semula sebagai setiausaha agung tetapi digugurkan oleh Mawan pada mesyuarat majlis tertinggi Sabtu lepas dan digantikan dengan Anggota Dewan Undnagan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan, Nelson Balang Rining.

Entri sebaliknya diberikan salah satu jawatan naib presiden tetapi beliau menolak, dengan mendakwa bahawa Mawan telah mungkir janji.

"Saya tidak puas hati kerana saya rasa ditipu oleh presiden untuk mengekalkan status quo dalam parti. Beliau yang menanyakan status-quo sebelum pemilihan parti dan kita terpaksa setuju," kata Entri ketika dihubungi Bernama.

Entri, Menteri Muda Kemudahan Awam negeri dan ADUN Marudi mengadakan persidangan akhbar semalam untuk menerangkan apa yang berlaku semasa mesyuarat majlis tertinggi lepas dan alasan beliau enggan menerima jawatan naib presiden.

"Tidak ada rundingan dan konsensus di kalangan anggota majlis tertinggi. Kita semua terkejut dan apabila saya sedar saya telah digugurkan, saya bangun dan meninggalkan mesyuarat itu," kata beliau.

Sumber-sumber parti berkata pengguguran Entri, mengakibatkan tiga ADUN, seorang anggota Parlimen dan tiga anggota majlis tertinggi meninggalkan mesyuarat tersebut.

Mereka ialah ADUN Tasik Biru Peter Nansian, ADUN Bekenu, Rosey Yunus, ADUN Batu Danau Paulus Gumbang, anggota Parlimen Mas Gading, Dr Tiki Lafe dan anggota majlis tertinggi George Garai, Peter Gani and Ida Iga.

Beberapa pemimpin utama parti ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu, sementara sesetengahnya berkata presiden mempunyai kuasa mutlak untuk membuat pelantikan khasnya jawatan lantikan parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan