Pengikut

Sabtu, 16 Januari 2010

HANYA 2 NEGERI JADI PENYELAMAT




Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, kemenangan Pakatan Rakyat (PR) sangat bergantung kepada Sabah dan Sarawak dari segi strategi politik kerana kedua-duanya adalah penyumbang kerusi terbesar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu.


"Kalau tidak ada kerusi parlimen daripada Sabah dan Sarawak sudah lama Barisan Nasional terkubur di negara kita, ertinya untuk memastikan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang tidak lagi memerintah ia bergantung kepada rakyat Sabah dan Sarawak,” ujarnya pada satu majlis yang diadakan di sini, semalam.



Beliau juga mengingatkan para penyokong PR supaya menjaga perpaduan dan kesatuan di kalangan mereka serta mengadakan perbincangan atau perundingan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.



“Tinggal lagi kita kena bekerja keras kerana kemenangan tidak akan kita berpeluk tubuh,” ujarnya.



Nasrudin dan beberapa orang exconya berada di Sabah untuk siri lawatan kerja dan aktiviti dakwah.



Exco Pemuda PAS Pusat yang turut sertai lawatan itu ialah Kamaruzaman Mohamad, Adram Musa, Suhaizan Kaiat, Zamakshari Mohamad, dan Ir Mohamad Khairil.



Ketika sidang media di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Nasrudin memberitahu tiga objektif lawatan Pemuda Pusat ke negeri ini ialah menilai prestasi dan memperkasa gerak kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, melihat ruang dan peluang dakwah yang boleh digerakkan pemuda dan meninjau beberapa isu yang boleh diketengahkan.



Pada sebelah petang, Nasrudin dan beberapa orang exconya bermesyuarat bersama Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Sabah (Sepakat) yang turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Lahirul Latinggu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah, Abd Razak Jamil dan Ketua DAPSY Sabah, Alex Wong.



Beberapa kesepakatan telah dicapai dalam mesyuarat tersebut iaitu pertembungan antara parti dalam PR mesti dielakkan, komitmen terhadap aktiviti bersama, meletakkan sasaran di penguasaan PR di kawasan-kawasan yang ditandingi sebelum ini di samping meluaskannya ke kawasan lain yang berpotensi.



Selain itu, Sepakat juga bersetuju untuk bersama memperhebatkan daftar pengundi muda, berusaha menubuhkan Sepakat di semua kawasan parlimen di negeri ini dan menjadikan empat buah negeri PR sebagai model pemerintahan.



Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani pula mengetuai aktiviti Pemuda Prihatin Rakyat di Kampung Air Sembulan yang terbiar di tengah Bandaraya Kota Kinabalu.



Program anjuran bersama Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS negeri ini bermula semalam dan akan berakhir Isnin ini.


harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan