Mahkamah Rendah Syariah di sini mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Muhammed Afandi Amir, 38, pada pertengahan Oktober 2008 terhadap Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, bekas model sambilan yang kini menunggu hukuman sebat kerana kesalahan minum arak.
Hakim Syarie Burhanuddin Ismi Adam berkata, berdasarkan keterangan Kartika Sari Dewi selaku plaintif, Muhammed Afandi ada melakukan dua lafaz cerai yang jelas iaitu pada pertengahan Oktober 2008 dan 10 Februari 2009.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan dalam perbicaraan hari ini, kedua-dua lafaz itu didapati adalah talak yang ‘soreh’ iaitu lafaz yang jelas daripada segi makna dan pada kebiasaannya, membawa erti talak kerana Muhammed Afandi selaku defendan secara jelas dan tanpa berselindung mengatakan dia menceraikan plaintif dengan sebutan “aku ceraikan kau”.
Bagaimanapun katanya, mahkamah hanya mengambil kira lafaz cerai yang pertama yang dibuat pada pertengahan Oktober 2008 pada 1 petang sebagai perceraian yang sah, dan selepas Kartika Sari Dewi tamat edah pada 17 Disember tahun sama, kedua-duanya bukan lagi pasangan suami isteri.
Beliau berkata, ia juga bermakna lafaz kali kedua pada 10 Februari 2009 dianggap tidak sah dan sia-sia kerana defendan tidak lagi mempunyai sebarang kuasa terhadap plaintif kerana mereka bukan pasangan suami isteri. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan