Pengikut

Jumaat, 22 Januari 2010

SUARA KEADILAN DIDAKWA, BUKAN PEGAWAI SPRM






Bukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi akhbar Suara Keadilan, yang sepatutnya dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mendedahkan hasil laporan bedah siasat kematian Teoh Beng Hock, Mahkamah Koroner diberitahu pada hari Jumaat.

Peguam SPRM Datuk Abdul Razak Musa berkata tindakan tabloid itu menyiarkan artikel bertajuk "Pornthip Sahkan Beng Hock Dibunuh" pada 29 Dis lalu telah mendahului mahkamah, sedangkan mahkamah itu belum membuat sebarang keputusan berhubung kematian setiausaha politik berkenaan.

"Pihak yang sebenarnya menghina mahkamah ialah pihak yang mengeluarkan berita itu sedangkan ia (keputusan berhubung kematian Teoh) belum lagi diputuskan," kata Abdul Razak.

Peguam SPRM menghujahkan perkara itu semasa membantah permohonan abang mendiang, Teoh Meng Kee, supaya pegawai SPRM Raub Ghani dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip Rajanasunand pada 1 Jan lepas.

Abdul Razak berhujah bahawa Raub membuat laporan polis itu demi menjaga integriti mahkamah dan bukan dengan niat untuk menakut-nakutkan pakar patologi dari Thailand itu daripada memberikan keterangan di mahkamah.

"Raub berhak untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki ada pihak yang membocorkan maklumat berhubung hasil bedah siasat itu. Tindakannya bukanlah satu perbuatan menghina mahkamah," jelas Abdul Razak.

Pada 5 Jan lepas, Meng Kee memfailkan notis usul menghina mahkamah terhadap Raub kerana mendakwa laporan polis oleh pegawai SPRM itu sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan dan mengugut Dr Pornthip daripada memberi keterangan berhubung bedah siasat kedua ke atas Beng Hock.

Bagaimanapun, mahkamah pada 15 Jan lepas dimaklumkan peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili kerajaan, bahawa pihak Peguam Negara tidak akan mendakwa Dr Pornthip atas tuduhan membocorkan maklumat laporan forensik kerana tidak terdapat sebarang bukti kukuh bagi menyokong dakwaan itu.

Dalam bantahannya pada hari Jumaat, Abdul Razak berhujah bahawa Meng Kee tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membuat permohonan itu kerana Dr Pornthip adalah pihak yang sepatutnya mengemukakan usul tindakan menghina mahkamah itu.

"Bagaimana kita tahu Dr Pornthip benar-benar takut (untuk memberikan keterangan)? Kita tidak ada keterangan atau afidavit daripada Dr Pornthip sendiri, adakah afidavit Meng Kee itu sahaja mencukupi?" kata Abdul Razak.

Beliau juga berkata Meng Kee sepatutnya mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu untuk memulakan prosiding tindakan menghina mahkamah terhadap Raub seperti diperuntukkan Aturan 34 Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah.

Peguam Karpal Singh, yang mewakili Meng Kee, berkata sebagai ahli keluarga, anak guamnya adalah pihak berkepentingan dalam kes ini dan mempunyai hak atau locus standi untuk mengemukakan permohonan berkenaan.

Peguam pemerhati keluarga mendiang, Gobind Singh Deo memohon koroner Azmil Muntapha Abas memanggil Raub ke mahkamah bagi menjelaskan tindakannya membuat laporan polis itu.

"Raub telah membuat laporan polis tanpa asas dan berniat jahat untuk menakut-nakutkan Dr Pornthip. Kami mahu mahkamah memanggilnya supaya dia menjelaskan mengapa dia berbuat demikian," katanya.

Koroner Azmil Muntapha menetapkan 1 Feb depan untuk mendengar hujahan lanjut berhubung isu itu dan berkata beliau akan turut menimbangkan isu sama ada akhbar Suara Keadilan patut dikenakan tindakan menghina mahkamah pada hari itu nanti.

Dalam kejadian 16 Julai tahun lepas, Beng Hock, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14, bangunan sama.

Pada 22 Nov lepas, mahkamah membenarkan permohonan keluarga Beng Hock supaya mayat mendiang digali semula untuk melakukan bedah siasat kedua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan