Pengikut

Sabtu, 16 Januari 2010

DATUK ZAID IBRAHIM





Ahli Majlis Tertinggi PKR, DATUK Zaid Ibrahim berkata, beliau mengambil masa selama tiga bulan sahaja untuk menyelesaikan tugas yang berat iaitu membuat dasar bersama Pakatan Rakyat dan mendaftar parti itu. Beliau mengambil cuti enam bulan dari aktif dalam Biro Politik PKR untuk tugas ini, namun selepas tiga bulan beliau berjaya menyelesaikannya. Dasar Pakatan Rakyat telah dibentangkan dalam Konvensyen Pertama Pakatan baru-baru ini.

Ikuti pengalaman beliau dalam menjalankan tugas ini sebagaimana yang diceritakan kepada wartawan Harakahdaily Zulkifli Sulong dan Hazayani Zakaria.

Harakahdaily: Pertama sekali terima kasih kepada Datuk kerana sudi bersama dengan Harakahdaily pada hari ini. Datuk dilihat sebagai arkitek di belakang Dasar Pakatan Rakyat dan pendaftaran Pakatan Rakyat itu sendiri. Apa pengalaman Datuk sebenarnya dalam menyelesaikan kerja-kerja ini.

Zaid: Saya tidaklah mahu dipanggil arkitek. Dasar Pakatan Rakyat, saya membuat inisiatif itu dan Alhamdulilah kita dapat sokongan daripada ketiga-tiga parti. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua. Saya pun terkejut dengan cepat malah bila saya kata saya ingin bercuti enam bulan, saya ingat sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk menjayakannya.Tapi kita berjaya dalam masa tiga bulan.

Dalam hal ini saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada ketiga-tiga parti khususnya kepada PAS kerana kebanyakan dasar bersama yang diluluskan itu di antara PKR dan DAP telah banyak persamaan kecuali dalam hal-hal tertentu. Tetapi inilah pertama kali kita bersemuka dengan PAS secara detail dan mendalam. Dan saya menghargai sokongan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abul Hadi Awang dan sokongan Datuk Mustafa Ali misalnya dalam membawa muafakat ini kepada satu tahap yang baru.

Saya tidak pernah melihat dalam sejarah tanah air kita tiga parti yang berbeza ini, yang asal usulnya berbeza, sejarahnya berbeza, perjuangan politiknya agak berbeza dalam banyak hal dapat duduk bersama dan ini menunjukkan kematangan parti-parti ini dan juga keprihatinan mereka tentang keperluan rakyat. Rakyat mahu perubahan, rakyat mahu bergerak ke arah satu peringkat yang baru dalam pentadbiran negara dan Pakatan Rakyat telah menyahut seruan ini.Saya amat bangga dan berpuasa hati.

Mengenai pendaftaran kita telah menghantar borang dengan memenuhi segala syaratnya tapi saya rasa ini terpulang kepada Menterinya, Datuk Seri Hishamudin samaada mereka hendak meluluskan atau tidak. Tapi saya percaya mereka akan luluskan kerana tidak ada sebab mengapa pendaftaran Pakatan ini boleh ditangguhkan lagi.

Cuma saya ingin memberi peringatan bahawa kekuatan kita bukan terletak pada pendaftaran tapi kekuatan kita adalah muafakat kita, kesanggupan kita dan keinginan kita untuk berkerjasama. Dan hari ini Barisan Nasional tidak boleh menggunakan propaganda lagi bahawa Pakatan tidak boleh bersama dan sebagainya. Propaganda itu telah pun basi. Rakyat dari sehari ke sehari melihat kekuatan Pakatan. Misalnya isu penggunaan nama Allah baru-baru ini, pada saya Umno cuba menggunakan isu ini kerana mereka dalam keadaan terdesak dengan masalah-masalah negara yang disebabkan oleh dasar-dasar mereka yang tidak mementingkan kepentingan negara dan rakyat.

Jadi dalam isu ini kita melihat ketiga-tiga parti menandatangani satu kenyataan bersama, bersetuju merujuk kepada orang-orang alim, sejarah dan berpandukan kitab suci Al-Quran dan pandangan-pandangan yang lain dan mereka membuat keputusan yang cepat, jelas dan ini memberikan ketenteraman menyebabkan orang Melayu dan Islam faham dalam isu yang disensitifkan oleh Umno ini. Dan usaha untuk membawa kepada pertelingkahan kumpulan antara orang Islam dan bukan Islam telah tidak berjaya. Saya rasa inilah satu lagi kemajuan Pakatan Rakyat, satu lagi bukti bahawa kita dapat menangani segala masalah termasuklah yang sensitif, yang rumit yang disebabkan oleh dasar-dasar Umno tadi. Pada saya tidak perlu kesangsian daripada rakyat mengenai muafakat dan kesanggupan kita untuk mengatasi masalah-masalah yang rumit.

Harakahdaily: Datuk berjaya meletakkan ketiga-tiga pendapat yang berbeza ini dalam bentuk tulisan. Mungkin Datuk Seri Anwar berjaya membawa ketiga-tiga parti duduk bersama, tetapi Datuk pula berjaya membawa ketiga-tiga parti untuk membuat satu dasar bersama. Bolah Datuk ceritakan pengalaman Datuk dalam mendekatkan PAS, DAP dan PKR.


Zaid:
Selain daripada soal menggubal dasar dan sebagainya, saya juga bernasib baik kerana hubungan saya dengan PAS, DAP dan PKR tidak ada masalah walaupun saya dalam Umno dulu, berlawan dengan PAS, tetapi saya mempunyai hubungan peribadi yang baik misalnya dengan Tok Guru Nik Aziz, Datuk Husam, dengan pemimpin-pemimpin yang lain seperti Datuk Wan Rahim di Kota Bharu, Datuk Mustafa Ali di Terengganu, semua itu kawan saya walaupun saya dalam Umno. Saya selalu berhubung dengan Lim Kit Siang walaupun saya tidak berapa kenal dengan Lim Guan Eng. Jadi bila saya masuk PKR, sudah tentu mudahlah sikit untuk bincang isu-isu semasa, apa lagi yang perlu dibuat untuk perkukuh Pakatan ini mudah kerana kita dah kenal. Saya rasa ini merupakan faktor yang membantu saya.

Tapi saya juga ingin memberikan pujian kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kerana sebelum saya dapat bawa kepada PAS dan DAP, saya mestilah dapat kelulusan daripada parti saya sendiri. Datuk Seri Anwar tidak mengambil masa yang lama. Beliau melihat platform dasar itu dan beliau terus membuat keputusan bahawa kita harus mengemukakannya kepada ketiga-tiga parti. Jadi sokongan Datuk Seri Anwar memang kritikal dan beliau membuat keputusan yang cepat. Ini memudahkan perbincangan dengan DAP dan PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan