Pengikut

Khamis, 18 April 2013

GEN Y LAWAN GEN X-GERGASI TAMBUN. APE MACAM?







Muda dan lantang, Siti Aishah Shaik Ismail mewakili PKR untuk berhadapan dengan gergasi politik Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam Pilihan Raya 2013 dikubu kuatnya di Tambun, kerusi dikuasai oleh veteran Umno itu yang juga menteri Kabinet.


Dikala Husni berusaha untuk penggal kelimanya, Siti Aishah, yang berusia 27 tahun dan berwajah serius — biasa bermain bolasepak bersama budak-budak lelaki di kejiranan Manjoi di mana beliau membesar, menjadikan perlawanan di Tambun sebagai pintu masuknya ke dalam politik Malaysia.

Tidak berapa lama dahulu semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 2010, pemegang diploma Komunikasi dan IT itu yang baru berusia 24 tahun berhadapan dengan ceramah pertamanya di hadapan ribuan orang di stadium Kuala Kubu Baru.

Dikenali sebagai “pemalu” dizaman persekolahannya, Siti Aishah gementar di pentas ceramah pada ketika itu, menggigil dan terkunci mulutnya, merenung kepada hadirin untuk beliau yakinkan dengan kata-kata agar mengundi Pakatan Rakyat (PR) untuk “perubahan”.

Hari ini selepas tiga tahun dan banyak ceramah, beliau menjadi jaguh pidato dan mampu memukau hadirin dan dilihat sebagai bintang baru yang bersinar.

Bercakap kepada The Malaysian Insider di ibu pejabat PKR Perak di sini semalam, Siti Aishah megatakan beliau tidak takut dengan pertempuran yang bakal dihadapinya dan langsung tidak gentar dengan lawannya yang lebih berpengalaman bukan sahaja dalam politik, tetapi dalam pentadbiran kerajaan.

Ketua Srikandi PKR itu mentertawakan tanggapan berdasarkan umur dan pengalaman, Menteri Kewangan Kedua kerajaan sementara itu akan menjadi ahli parlimen yang lebih baik daripadanya dan mengingatkan Husni tidak berkhidmat dengan begitu baik sepanjang empat penggalnya di Tambun.

“Sebab itu saya selalu kata, jangan gunakan usia untuk menilai kemampuan. Husni, ahli parlimen selama empat penggal, menteri, tetapi masih, jurang pendapatan di Tambun adalah mengejutkan ... dan golongan berpendapatan rendah membentuk 65 peratus daripada pengundi,” katanya.

Siti Aishah bergantung kepada zaman remaja dan kebiasaannya di Tambun, tempat dimana beliau membesar dan bersekolah di Gugusan Manjoi, kawasan penempatan Melayu yang besar di tengah-tengah bandar di sini.

Beliau mengatakan 41 peratus daripada hampir 90,000 pengundi Tambun adalah di bawah 40 tahun, kebanyakkannya mahu mendengar suara anak muda di Parlimen.

“Ini adalah pertempuran Gen X dan Gen Y,” katanya kepada The Malaysian Insider. “Saya mewakili Gen Y dan Husni mewakili X, tetapi saya fikir saya boleh yakinkan Gen X untuk sokong Gen Y.”

Dalam siri ceramahnya sejak beberapa bulan lalu, Siti Aishah mengatakan beliau bertemu dengan ramai rakan sekolahnya dan guru serta kawan lama, sesetengahnya masih tidak bekerja walaupun mempunyai ijazah, kehidupan yang sukar di Tambun.

“Kadar penganguran di Tambun sangat tinggi. Kebanyakkan kawan saya, graduan universiti asyik bertanya kepada saya – apa yang PR boleh lakukan jika menang,” katanya.

“Walaupun kerusi Tambun disandang oleh seorang menteri, seorang menteri kewangan, pembangunan di sini agak perlahan.

“Lihat sahaja balai polis Manjoi… mereka menyewa rumah untuk operasi!” katanya.

Manjoi adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Tambun dan penyandangnya adalah Datuk Nadzri Ismail, ahli politik yang disukai dan dikenali, seperti Husni, beliau telah mewakili kawasan ini selama empat penggal.

Akan tetapi Nadzri digugurkan daripada senarai calon BN pada Selasa dan akan digantikan oleh muka baru, Mohamad Ziad Mohamed, bendahari Umno bahagian Tambun dan salah seorang “orang Husni”.

Menurut Siti Aishah, lengkah menggugurkan Nadzri memberikan kelebihan kepada dirinya oleh kerana pengundi di kawasan tersebut menyukainya dan merasakan menjadi tanggungjawab untuk mengundi lelaki tersebut.

Peralihan undi dari penyokong Nadzri kepada kemnya, katanya, akan membawa dirinya hampir kepada kemenangan pada 5 Mei ini.

“Ya adalah benar dalam budaya Melayu, kita percaya menunjukkan penghargaan dan membalas budi, tetapi Nadzri telah tiada, ini membuka peluang untuk kami,” katanya.

“Husni mungkin sudah menjadi ahli parlimen Tambun untuk banyak penggal, tetapi Husni bukan seperti Nadzri yang dilihat merendah diri.”

Beliau sedar dengan populasi besar penduduk miskin daripada 90,000 pengundi Tambun, kebanyakkannya menerima pemberian RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada kerajaan BN.

Siti Aishah mengakui, pemberian tersebut menjadi tarikan kepada BN apa lagi selepas gabungan tersebut menjanjikan untuk menaikkannya kepada RM1,200 dalam manifesto pilihan raya, tetapi berkata pengundi sedar pemberian tersebut hanya sekali dalam masa lima tahun.

“BR1M tidak membantu rakyat tetapi saya lihat ianya lebih kepada rasuah untuk undi. Jika mereka ikhlas nak bantu rakyat, ia tidak seharusnya dalam bentuk pemberian tetapi kepada tawaran lebih baik, penyelesaian jangka panjang untuk selesaikan masalah ekonomi,” katanya.

Selepas lebih separuh dekad di bawah BN, Siti Aishah mengatakan pengundi sudah lebih matang dan walaupun di kampung Melayu, yang dikatakan kubu kuat Umno sekarang telah beralih kepada PR.

Beliau mengatakan pilihan raya ini bukan persaingan personaliti atau jenama diantara BN atau PR tetapi ianya adalah proses kesedaran dan memberikan harapan untuk menunjukkan kepada pengundi, terdapat alternatif untuk penyelesaian masalah mereka.

“Melayu semakin bijak. Mereka tidak mahu dengar kita menghentam orang lain. Jika kita beritahu seseorang mencuri wang contohnya, mereka mahu tahu berapa banyak yang dicuri dan bagaimana ianya berlaku.

 “Kita harus sokong pertuduhan kita dengan fakta, angka dan cara penyelesaian,” katanya.

Siti Aishah mengatakan, beliau bersendiri sebulan sekali untuk lima jam dalam bilik senyap untuk melakukan kajian isu sebelum berceramah.

“Untuk menarik hadirin, kita perlu sentuh tiga perkara… jika ia tentang rasuah, kita bercerita tentangnya, kemudian yakinkan mereka kita tidak amalkan rasuah dan beritahu apa yang mereka akan dapat jika kita tidak rasuah,” katanya.

Pilihan Raya 2008 menyaksikan Husni mengekalkan kerusi Tambun untuk penggal keempat dengan majoriti lebih rendah 5,386 undi berbanding 17,360 semasa pilihan raya umum 2004.

Pemimpin kanan Umno itu sebelum ini dikatakan akan menggantikan Datuk Seri Dr Zambry Abd kadir sebagai menteri besar akan tetapi semasa pengumuman senarai calon Selasa lepas, beliau diumumkan kekal di Tambun.

Tambun di mana terletaknya kerusi DUN Manjoi dan Hulu Kinta mempunyai 89,582 pengundi berdaftar dengan Melayu sebanyak 64 peratus, Cina 22 peratus dan India 12 peratus.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan