Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat negara ini terutama di
Sabah supaya tidak mempercayai khabar angin bahawa keadaan keselamatan
di negeri itu kini dalam keadaan tidak terkawal berikutan pencerobohan
bersenjata di Lahad Datu dan kawasan berhampiran.
Perdana Menteri berkata kejadian tembakan susulan pencerobohan itu
hanya berlaku di tiga tempat iaitu Lahad Datu, Semporna dan Kunak dan
tidak berlaku di tempat-tempat lain.
"Kalau ada khabar angin ia adalah tidak berasas dan tidak berpandukan
hakikat sebenar. Rakyat Sabah terutamanya jangan rasa gementar atau
takut akan keselamatan mereka," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh,
dekat sini, Ahad.
Beliau berkata pihak keselamatan sedang menjalankan operasi mengikut keadaan dan situasi semasa di ketiga-tiga kawasan tersebut.
"Berilah peluang dan masa untuk mereka lakukan tindakan dan operasi
untuk tumpaskan kumpulan itu dan selamatkan pihak-pihak di sana,"
katanya.
Najib berkata beliau yakin dan percaya akan kemampuan pasukan
keselamatan negara apatah lagi kini anggota keselamatan di sana telah
ditambah.
"Anggota polis telah ditambah. Tentera pun dah hantar dua batalion ke
Sabah. Kita ada kekuatan yang mencukupi untuk menghadapi apa jua
keadaan," katanya.
Mengenai insiden seorang pegawai dan empat anggota polis terkorban
dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri
Jaya, Siminul, Semporna, Sabah semalam, Najib berkata ia satu kejadian
yang tidak diduga.
"Pasukan kita dengan kekuatan 57 anggota. Mereka tak menduga kumpulan
ini sanggup ambil tindakan cukup ganas. Pasukan kita pergi ke sana
untuk mencari maklumat untuk gambaran lebih jelas," katanya.
Kejadian di perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.
Jumaat lepas, dua anggota polis komando VAT 69, ASP Zulkifli Mamat,
29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, terkorban dan tiga lagi anggota polis
cedera dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari
selatan Filipina di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Dalam kejadian itu, 12 anggota pasukan penceroboh terbunuh.
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan