Pengikut

Selasa, 1 Disember 2009

PENASIHAT TGNA KINI DIPERSALAHKAN







Presiden PAS menyalahkan penasihat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang gagal memberikan "nasihat undang-undang dan politik" yang betul sehingga menjerumuskan menteri besar itu dalam kontroversi dakwaan mengamalkan kronisme.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Nik Abdul Aziz, sebagai Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), "telah menjalankan pelantikan yang ikhlas" apabila menaikkan Abdul Ariffahmi Abd Rahman, seorang menantunya, sebagai ketua PMBK.

"Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru," kata presiden PAS hari ini.

"Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku Menteri Besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini."

Abdul Hadi, yang turut campur tangan dalam kontroversi itu sehingga mendorong Abdul Ariffahmi digugurkan sebagai ketua pegawai eksekutif PMBK, mengulas isu tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan ini yang disiarkan di akhbar web rasmi parti dipercayai sebagai menjawab serangan media dan pemimpin Umno terhadap Nik Abdul Aziz, juga mursyidul am parti itu, yang dituduh mengamalkan pilih kasih kepada anggota keluarga sendiri.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak menyebut pihak yang dituduh memberikan nasihat yang salah kepada tokoh besar PAS itu, sama ada pegawai tinggi kerajaan atau barisan pemimpin kanan kerajaan negeri itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan