Pengikut

Rabu, 20 Oktober 2010

PAKATAN UMNO DAN PARTI KOMUNIS CHINA .

Delegasi Parti Komunis China (CPC) hari ini percaya UMNO yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara mampu melakukan perubahan untuk berdepan cabaran khususnya meraih sokongan generasi akan datang.
 
Ketua delegasi CPC, Huang Xiangyao berkata walaupun UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) menerima tamparan pada pilihanraya umum lalu namun menerusi perubahan-perubahan yang dilakukan, BN mampu meraih semula sokongan rakyat.

Malah beliau turut mengakui berminat untuk mendapat pengetahuan bagaimana UMNO melakukan perubahan tersebut.

Pada kunjungan delegasinya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO hari ini, beliau juga melahirkan rasa gembira kerana hubungan kedua-dua parti terus dapat dieratkan.

Ini katanya dibuktikan menerusi jemputan UMNO kepada CPC yang bukan sahaja untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2010 tetapi juga turut serta dalam forum antarbangsa yang diadakan bermula Isnin lalu.

“Pihak CPC amat menghargai kerjasama yang telah dijalinkan bukan saja kerjasama diplomatik dan perdagangan antara China dan Malaysia tetapi hubungan antara kedua-dua parti yang terus terjalin erat”, katanya.

Dalam kunjungan selama hampir satu jam itu juga delagasi CPC turut diberi penerangan ringkas tentang sistem organisasi parti, situasi semasa perjalanan perhimpunan agung UMNO dan juga persiapan UMNO bagi menghadapi dua pilihanraya kecil iaitu di Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Huang turut menyatakan harapan besarnya agar UMNO termasuk kerajaan Malaysia mengambil kesempatan kerjasama erat ini untuk terus menerokai peluang baik dari sudut ekonomi, teknologi dan perniagaan yang sedia ada negara republik berkenaan.

“Malaysia adalah rakan lama China dan hubungan kedua-dua pemimpin sememangnya menjanjikan peluang yang cukup besar untuk manfaat kedua-dua negara”, ujarnya.


Sementara itu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula kerjasama UMNO dan CPC sebenarnya cukup erat apatah lagi kedua-dua parti telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Beijing, 5 Ogos lalu.

“Sewaktu mengadakan perbincangan, menterinya memaklumkan bahawa mereka amat kagum terhadap cara UMNO menangani masalah perkauman dan ingin mempelajari daripada kita bagaimana mengatasi masalah-masalah berkaitan etnik yang wujud,” katanya.

Jelas beliau lagi walaupun China mengamalkan sistem satu parti namun di negara tersebut terdapat lebih 50 masyarakat etnik.

“Sebagai sebuah negara besar tentunya mereka mempunyai pelbagai masalah dan percaya bahawa kaedah yang diambil dari Malaysia sedikit sebanyak boleh digunapakai dan boleh ditokok tambah untuk disesuaikan dengan pentadbiran negara mereka,” jelasnya.

Katanya, beliau turut menyebut minat UMNO bagi menghantar generasi muda khususnya di kalangan pergerakan Pemuda dan Puteri untuk mempelajari bagaimana CPC melaksanakan program-program mereka. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan