Pengikut

Rabu, 20 Oktober 2010

PERAK NEWS: YB NAJMUDDIN NAFI LETAK JAWATAN?

Spekulasi berhubung peletakan jawatan Penasihat Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Datuk Kapten (B) Najmuddin Elias Al-Hafiz terjawab apabila beliau menafikan mengenai perkara itu yang dipercayai disebarkan melalui pihak ketiga.

Najmuddin berkata, beliau tidak akan melepaskan jawatan itu memandangkan tidak ada sebab kukuh untuk beliau melakukannya.

“Saya terkejut dan tidak mengetahui khabar angin mengenai perkara ini. Saya berharap pihak yang menyebarkan perkara ini untuk berhenti berbuat demikian.

“Mungkin terdapat salah faham dalam kalangan pihak ketiga yang mendengar perbualan saya bersama rakan-rakan,” katanya di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau berkata, tiada sebarang perancangan dibuat untuk meninggalkan parti dan jawatan berkenaan.

“Sehingga ke hari ini saya masih memegang jawatan Penasihat Hal Ehwal Agama Islam Negeri dan kekal sebagai ahli UMNO,” katanya.

Dalam perkembangan sama, desas-desus menyatakan sekumpulan ahli pembangkang dalam proses mencari waktu sesuai mengadakan rundingan dengan Najmuddin untuk membincangkan masa depan beliau dalam politik.

“Kami sedang mencari masa sesuai bertemu Najmuddin kerana sedar akan kekecewaan yang dihadapinya kerana tidak dilantik sebagai Exco Agama Islam negeri.

“Kami turut mendapat maklumat mengenai beliau yang tidak menghadiri majlis rasmi kerana tidak berpuas hati dengan beberapa perkara di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri,” kata ahli pembangkang berkenaan di sini, semalam.

Najmuddin dilantik sebagai Penasihat Agama Islam Negeri selepas Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Perak sejurus kerajaan pakatan pembangkang dianggotai DAP-Pas-PKR yang memerintah negeri ini selama kira-kira setahun, tumbang berikutan tiga wakil rakyat meninggalkan pakatan itu.

Mereka adalah dua wakil rakyat PKR iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu serta ADUN Jelapang (DAP), Datuk Hee Yit Foong yang keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas dan menyokong BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan