Pengikut

Isnin, 20 Disember 2010

MANA ADA PENYELEWENGAN..?

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sehingga kini belum menerima sebarang aduan rasmi mengenai penyelewengan pengagihan notebook 1Malaysia.


Timbalan menteri berkenaan Datuk Joseph Salang berkata bagaimanapun, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bersama-sama Kementerian Pelajaran mengadakan pemantauan dan penambahbaikan proses pengagihan secara berterusan.

“Ini bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan agar manfaat daripada inisiatif pengagihan notebook 1Malaysia itu dapat dinikmati oleh kumpulan sasar,” katanya menjawab soalan Senator Mumtaz Md Nawi di Dewan Negara hari ini.

Salang berkata pelaksanaan pengagihan notebook 1Malaysia dipantau oleh pejabat-pejabat wilayah SKMM di seluruh negara di mana maklum balas diperolehi daripada pelajar-pelajar sekolah yang telah menerima notebook serta pihak berkepentingan di negeri-negeri termasuk guru sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah dan ketua kampung berkenaan bagi menilai keberkesanan kaedah yang dijalankan.

Beliau berkata sejumlah RM1 bilion telah diperuntukkan untuk pelaksanaan projek notebook 1Malaysia melibatkan pengagihan sebanyak satu juta unit notebook beserta langganan pakej jalur lebar kepada pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 dan juga kepada golongan berpendapatan rendah.

“Had pemberian bagi kedua-dua kumpulan sasar ini adalah satu unit computer riba bagi satu isi rumah,” katanya.

Salang berkata fasa satu yang melibatkan pengagihan sebanyak 123,000 unit komputer riba kepada kumpulan sasar telah dilaksanakan sebagai projek perintis.

“Fasa dua yang melibatkan 577,000 unit dan fasa tiga melibatkan 300,000 unit komputer riba sedang dalam proses pelaksanaan,” katanya. — Bernama

1 ulasan: