Pengikut

Rabu, 21 Julai 2010

BERITA PERAK: 9 SEKOLAH SUWA DAPAT TANAH





Sembilan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Suwa) di sekitar negeri menerima khabar gembira apabila Kerajaan Negeri meluluskan permohonan peruntukan tanah seluas 1,000 hektar bertujuan membiayai sumber kewangan sekolah-sekolah berkenaan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, tanah itu bakal digunakan untuk penanaman kelapa sawit dan ianya mendapat perhatian daripada beberapa syarikat untuk mengusahakan tanah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihak sekolah berkenaan telah menubuhkan syarikat sendiri bagi membantu menguruskan tanah tersebut.

“Secara keseluruhannya, hak milik pajakan bagi tanah berkenaan adalah selama 99 tahun bagi kegunaan penanaman kelapa sawit.

“Selain itu, premium bernilai RM2,000 dengan nilai cukai tanah adalah sebanyak RM65 setahun juga diperuntukkan bagi pegangan 20 hektar atau lebih.

“Sehingga ke hari ini, difahamkan ada syarikat berminat dengan tanah berkenaan dan menawarkan sejumlah RM3.6 juta setahun kepada sekolah-sekolah berkenaan sebagai ganjaran kepada mereka mengusahakan tanah berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Hang Soon berkata demikian pada sidang media sempena majlis penyerahan surat kelulusan berkenaan kepada wakil pihak syarikat yang mengendalikan tanah berkenaan, di pejabatnya, semalam.

Hadir sama, beberapa pengerusi serta ahli-ahli lembaga sekolah-sekolah Suwa dari sekitar negeri.

Sementara itu, Hang Soon berkata, kelulusan tanah berkenaan bukanlah bermakna ianya boleh selesaikan masalah sumber pendapatan dan kewangan di sekolah-sekolah Suwa.

Katanya, orang ramai juga perlu terus menghulurkan bantuan kepada sekolah-sekolah Suwa, bagi memastikan operasi sekolah-sekolah Suwa ini berterusan pada masa hadapan.


nota kaki busuk: ari tu marah sangat ke YB Nizar, kerana bagi tanah pada Sekolah-Sekolah SUWA...hari ni BN buat benda yang sama...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan