Pengikut

Rabu, 21 Julai 2010

GHANI PATAIL PUAS HATI





Malaysia berpuas hati dengan kerjasama Britain dalam siasatan berhubung penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang melarikan diri ke London, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Katanya perkara itu perlu ditangani berdasarkan saluran perundangan, dan dalam soal ini, Malaysia perlu menghormati undang-undang Britain.

"Saya tak ada komplen. Ia harus dijalankan mengikut undang-undang. Kita tidak boleh melanggar undang-undang negara lain," katanya selepas upacara menandatangani Perjanjian Bersama Bantuan Undang-undang Dalam Perkara Jenayah antara Malaysia dan Britain di sini, Rabu.

Raja Petra dipercayai melarikan diri ke Britain selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah tahun lepas berhubung artikelnya yang didakwa berunsur hasutan dan fitnah.

Ketika ditanya sama ada perjanjian hari ini akan membantu usaha membawa balik Raja Petra ke Malaysia, Abdul Gani berkata : "Ia akan membantu dalam semua kes bukan saja yang melibatkan Raja Petra. Tetapi kita harus ingat bahawa kita perlu patuhi undang-undang pihak lain. Ini bukannya soal mudah."

Abdul Gani juga menjelaskan bahawa apa yang dimeterai hari ini bukannya perjanjian ekstradisi kerana itu adalah satu proses lain.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia boleh membuat permohonan kepada mana-mana negara atas arahan Menteri Dalam Negeri dan tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan.

"Memang ada persefahaman mengenai ekstradisi ini tetapi setakat ini kita tidak membuat sebarang permohonan kepada United Kingdom bagi perjanjian ekstradisi yang sebenarnya.

"Perjanjian ekstradisi adalah sesuatu yang kita perlu fikirkan kemudian, tetapi kita berpuas hati dengan perjanjian bantuan bersama yang dimeterai hari ni," katanya.

Ketika ditanya sama ada jawapan bertulis daripada bekas penyiasat persendirian S.Balasubramaniam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diterima di mahkamah di negara ini, Abdul Gani berkata : "Apa saja yang dilakukan oleh SPRM, mereka harus patuh kepada undang-undang kita. Keterangan tak semestinya yang dicatat oleh polis. Semua dokumen boleh diterima di mahkamah asalkan kita patuh kepada undang-undang. Bagi saya, tak ada masalah."

Balasubramaniam dikehendaki menjelaskan dua akuan berkanun yang bercanggah yang dibuatnya berhubung pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

SPRM membatalkan hasrat untuk pergi ke London bagi mendapatkan keterangan daripada penyiasat persendirian itu dan sebaliknya mengemukakan soalan menerusi peguam beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan