Pengikut

Jumaat, 16 Julai 2010

BERITA PERAK: LETAK 3 SYARAT






Susulan tindakan penduduk Taman Makmur yang menggesa projek pembinaan landasan kereta api berkembar di kawasan perumahan itu dihentikan kerana menyebabkan dinding rumah mereka mengalami keretakan serius, satu mesyuarat diadakan di pejabat pemaju, kelmarin.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar bersama 20 wakil penduduk taman berkenaan hadir mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak pemaju menerusi perbincangan yang diadakan.

Dr Kumar berkata, tiga cadangan dan permintaan dikemukakan penduduk kepada pihak pemaju supaya projek itu diteruskan.

Menurutnya, jika pihak pemaju bersetuju dan menerima cadangan itu, penduduk bersedia bertolak ansur.

“Apa yang penduduk buat ialah memberhentikan kerja pembinaan dan tiga permintaan dibuat penduduk ialah pihak pemaju menyediakan rumah sewa kepada penduduk sementara menunggu projek itu siap.

“kedua, semua masalah keretakan yang berlaku harus dibaiki dan kos ditanggung oleh pemaju," katanya kepada pemberita, di sini.

Katanya, bagaimanapun, permintaan ketiga penduduk iaitu memohon pemaju membeli semula rumah kediaman itu tidak dipersetujui dan perlu dibincangkan secara lanjut dengan pihak atasan mereka.

"Pihak pemaju meminta kerjasama penduduk untuk menjalankan kerja pembinaan melibatkan 15 lubang yang digali bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Kami juga mengadakan perbincangan dengan penduduk dan kita juga harap penduduk boleh membenarkannya sebelum kerja dihentikan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan