Pengikut

Jumaat, 16 Julai 2010

PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO BERMASALAH




Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menyangkal dakwaan bahawa Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO lima negeri dilihat tidak 'berkemampuan' menyelesaikan perpecahan dalaman parti.

Baru-baru ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan mencadangkan agar jawatan pengerusi badan perhubungan itu dikembalikan kepada pemimpin negeri memandangkan keadaan parti di negeri terbabit semakin pulih.

Zahid yang juga Naib Presiden UMNO memberitahu beliau dan dua rakan sejawatannya akan mengemukakan usul itu kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hal berkenaan.

Lima Badan Perhubungan UMNO negeri kini di sandang oleh Datuk Seri Mohd Najib (Presiden UMNO - Selangor), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden - Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Naib Presiden - Pulau Pinang), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (Naib Presiden - Terengganu)dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal (Naib Presiden - Kedah).

Hishammuddin yang ditanya ketika mengadakan sidang media di lobi Parlimen petang Khamis menegaskan bahawa tidak timbul soal tidak ada kemampuan kerana keadaan di Badan Perhubungan UMNO berkenaan sudah dilihat stabil.

"Kalau tidak ada kemampuan, saya rasa perhubungan masing-masing sudah lama berada dalam keadaan masalah berbanding sebelum ini yang boleh dilihat dalam keadaan tertekan," tambahnya.

Hishammuddin memberi contoh keadaan di Terengganu yang mana beliau selaku Pengerusi telah berdepan dengan pertembungan dua pihak tetapi keadaan sekarang tidak timbul berpecah dua pihak lagi.

Ditanya samada beliau sedia untuk memberi laluan pemimpin Terengganu menjadi pengerusi badan itu, beliau berkata, "saya tidak ada masalah, apa juga arahan pucuk pimpinan saya tidak pernah tolak tetapi apa yang paling penting apa jua keputusan dan tindakan kita ialah untuk memperkukuhkan dan memperbaikki keadaan yang saya rasa sudah cukup baik sekarang."

Katanya, "prinsip dan rasionalnya, tapi kalau kita buat keputusan yang boleh mengeruhkan keadaan, menyusahkan orang dan memastikan apa yang kita lakukan ini tidak boleh membina, saya rasa lebih baik jangan buat."

Bagaimanapun Hishammuddin menjelaskan bahawa sebarang keputusan terhadap mengembalikan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri kepada pemimpin negeri berkenaan mesti berdasarkan tiga faktor utama.

Menurutnya, faktor penting ialah keputusan Presiden parti, keduanya semua situasi stabil di negeri-negeri berkenaan dan ketiga, perlu dipastikan bahawa pemimpin yang hendak ambilalih itu lebih baik daripada pemimpin yang memegang jawatan itu sekarang.

"Jika tidak, tiada gunanya pada parti hendak buat perubahan sekiranya akan merosakkan dan menyusahkan lagi badan perhubungan berkenaan," tegas beliau.

Walau bagaimanapun, Hishammuddin berpendapat apa yang disuarakan oleh Zahid adalah bersandarkan kepada pendekatan lebih luas, iaitu mempersiapkan diri untuk terus berada dalam 'mood' pilihan raya umum yang ke 13.

Katanya, "dalam keadaan 'mood' itu, tidak munasabah bahawa negeri-negeri masih lagi dipimpin oleh mereka yang bukan daripada badan perhubungan negeri berkenaan."

Beliau juga berpendapat bahawa perkara itu tidak perlu dibincang di peringkat Majlis Tertinggi hanya perlu dibincang pada peringkat pengurusan dan biro politik parti saja, akhirnya yang buat keputusan adalah Presiden sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan