Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang Nik Ali Mat Yunus yang memberi kenyataan balas terhadap tuduhan Ketua Menteri Lim Guan Eng terhadapnya.
Beliau berkata, Nik Ali perlu memberi penjelasan terhadap segala tuduhan berkenaan bagi mempertahankan dirinya.
"Kalau dia (Nik Ali) dituduh dengan perkara tidak benar dan dihentam berkali-kali, dia pun ada nilai diri, kalau dia tak jawab nanti orang kata dia bersalah, jadi wajarlah penjelasan diberikan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan forum Garis Panduan Pemerolehan Nasional di sini hari ini.
Laporan berita sebelum ini menyebut, ketegangan antara Guan Eng dan Nik Ali timbul apabila Ketua Menteri tersebut didakwa beberapa kali mengeluarkan kenyataan menyerang pegawai terbabit.
Antaranya Guan Eng dikatakan mendakwa pegawai berkenaan sebagai “tidak profesional, tidak kompeten, pengecut dan patut dipecat” berhubung isu curi pasir di Balik Pulau.
Dakwaan Guan Eng itu menyebabkan Nik Ali tampil membuat kenyataan dalam media untuk mengkritik Ketua Menteri berkenaan dengan menyifatkannya sebagai biadab manakala tindakannya menyerang Pegawai Pembangunan Negeri itu telah merendahkan statusnya sebagai Ketua Menteri.
Mohd Sidek berkata Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam berpendapat perbuatan menghentam penjawat awam di khalayak ramai tentang perkara yang tidak benar adalah satu perkara yang patut dihentikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan