Pengikut

Khamis, 22 Julai 2010

BERITA PERAK:ZAMBRY CARI SIMPATI





Kerajaan Negeri meluluskan tanah seluas 2,000 hektar bagi mewujudkan tabung khas Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tanah yang dikenal pasti lokasinya di Besout itu akan diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.

“Mengikut cadangan, kita akan bangunkan sebuah ladang kelapa sawit dan hasil daripada ladang ini akan diisi ke dalam tabung khas itu.


“Kita tidak dapat menjangkakan pulangannya secara tepat menerusi angka, namun saya jangkakan nilai berjuta ringgit akan terkumpul,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di Bilik Mesyuarat Menteri Besar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Dr Zambry diminta mengulas sama ada Kerajaan Negeri ada memperuntukkan tanah bagi kegunaan SAR selepas kelulusan peruntukan tanah seluas 1,000 hektar kepada sembilan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Suwa) diumumkan kelmarin.

Difahamkan peruntukan tanah kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Suwa) itu diluluskan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin ketika pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di Perak.


Menurutnya, keputusan untuk meluluskan tanah seluas 2,000 hektar itu sudah lama dibuat, namun baru kini ia dimaklumkan.
Dr Zambry berkata, peruntukan tanah itu juga akan digunakan bagi menaikkan taraf dan memperbaiki kedudukan bangunan SAR yang mana sebahagiannya berada dalam keadaan agak tidak memuaskan.

“Kita berharap dengan dana yang diperoleh daripada projek kelapa sawit ini akan memberikan pulangan yang baik bagi membantu pengurusan SAR,” katanya.


Katanya, pengurusan tanah itu bakal dikendalikan oleh Perbadanan Ekonomi Islam Perak yang telah bersetuju untuk membangunkan tanah tersebut.
“Tabung itu akan diuruskan Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Perak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan