Pengikut

Khamis, 12 Ogos 2010

ADA PETUGAS KHAS UNTUK KAUM INDIA






Pasukan Petugas Khas yang baru dibentuk untuk melaksanakan keputusan Jawatankuasa Kabinet bagi menangani masalah Masyarakat India akan melancarkan program pertamanya pada Ahad ini.

Dikenali sebagai 'Program 1Malaysia Mesra Rakyat', ia akan diadakan di Dewan Harmoni Simpang Tiga, Ijok, Kuala Selangor, Selangor, menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Program itu, yang merupakan sebuah pusat sehenti bergerak bertujuan membantu masalah yang dihadapi masyarakat tersebut, dianjurkan bersama bahagian MIC Kuala Selangor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kata beliau dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dr Subramaniam yang juga naib presiden MIC dan pengerusi pasukan petugas itu berkata antara isu yang akan ditangani ialah pengeluaran surat beranak, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, masalah kemiskinan dan bantuan kebajikan, pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan, pinjaman perniagaan kecil dan nasihat undang-undang.

Beliau menggesa orang ramai yang menghadapi masalah atau kesukaran hendaklah hadir pada program itu untuk mendapatkan penyelesaian.

"Ini adalah peluang baik untuk orang ramai berjumpa kita dan masalah mereka diselesaikan oleh agensi yang berkaitan," kata Dr Subramaniam.

Menteri itu berkata pasukan itu mahu bertemu terus dengan orang ramai menerusi program tersebut, "dan bukan mereka mencari kita".

"Ini selaras dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Pasukan itu ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet tersebut, yang akan memantau dan mengukuhkan penyampaian dan pelaksanaan agar kumpulan miskin dan berpendapatan rendah boleh akses dengan perkhidmatan sektor awam seperti program pembasmian kemiskinan, program perumahan mampu milik dan program pendidikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan