Pengikut

Rabu, 18 Ogos 2010

RONNIE LIU DIDESAK LETAK JAWATAN EXCO





Pemimpin DAP, Ronnie Liu terus menerima tekanan agar meletak jawatan selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor selepas menerima teguran keras berhubung isu kontroversi kepala surat.

Tekanan tersebut timbul daripada pemimpin-pemimpin DAP sendiri yang menyifatkan imej parti itu hanya dapat dipulihkan sekiranya Liu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu penyalahgunaan surat sokongan bagi mendapatkan kontrak kerajaan negeri.

Penasihat seumur hidup DAP, Dr Chen Man Hin berkata, Liu yang bertanggungjawab dalam jawatankuasa kajian dan penyelidikan kerajaan negeri Selangor sepatutnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Sebagai ketua jawatankuasa kerajaan negeri (kajian dan penyelidikan) beliau patut tahu jika terdapat sebarang kesalahan," katanya sambil menambah imej parti itu tercalar hingga menimbulkan prasangka buruk dikalangan masyarakat terhadap jawatankuasa disiplinnya.

Jawatankuasa Disiplin mengeluarkan teguran keras kepada Liu berhubung pengurusan lemah portfolionya dan pemecatan ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Bon Hock berhubung penyalahgunaan kepala surat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi berkata, 'kerja pemulihan' terhadap kerosakan yang dilakukan harus datang dari Liu sendiri yang juga Ahli Parlimen Pandamaran.

"'Saham' kami jatuh merundum kerana isu ini. Liu perlu bertanggungjawab dan mengambil langkah sewajarnya untuk memulihkan semula keadaan.

"Jika kita mahu parti kelihatan bersih, kita perlu cakap serupa bikin," kata Ooi yang juga Ketua Staf di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ooi berkata pandangan orang ramai menerusi dalam talian terlalu negatif berhubung isu ini.

"Ia penting kepada kami kerana pandangan secara dalam talian membantu membentuk perjalanan politik untuk DAP pada 2008," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan