Pengikut

Khamis, 12 Ogos 2010

PERAK NEWS: KETUA MIC DISERANG





Ketua Cawangan MIC Taman Muhibbah II, G. Asogan, terkejut apabila mendapat berita isteri dan anaknya yang berada di rumah, di Taman Tun Sambathan, di sini, diserang hampir 20 lelaki.

Beliau yang ketika itu berada di luar atas urusan dimaklumkan oleh saudara-mara mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

Asogan berkata, dipercayai tidak kurang 20 lelaki datang secara tiba-tiba bersenjatakan kayu dan memecahkan pintu rumahnya.

Katanya, isteri, dua anak lelaki dan empat saudara perempuan serta lelaki berada di rumah dan kesemua dipukul menggunakan kayu sehingga mengalami kecederaan.

“Isteri saya mengalami luka di kaki dan dikenakan jahitan, sakit di belakang badan dan tangan sehingga tidak boleh memasak, mangsa lain turut cedera di beberapa bahagian badan.

“Selepas memukul dan mencederakan keluarga saya, mereka melarikan diri menggunakan sebuah kereta dan motosikal,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata, keluarganya mengalami kecederaan serta di hantar ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan.

“Selepas saudara-mara menghantar isteri dan anak ke hospital, saya terus ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan.

“Saya tidak tahu apa motif sebenar mereka bertindak sedemikian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya berjaya menangkap lima lelaki berumur lingkungan 17 hingga 30 tahun manakala selebihnya masih dalam operasi mencari.

“Difahamkan remaja lelaki yang ditangkap berasal dari kawasan berhampiran dan berkemungkinan mereka bertindak sedemikian bermotifkan dendam dan marah.

“Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan