Zambry Abd Kadir digesa menjelaskan surat sokongan yang dikeluarkan pegawainya kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dalam meluluskan 84 hektar tanah di kawasan Segari, Lumut tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Nga Kor Ming berkata, rakyat perlu tahu kebenaran ini berikutan pada masa sama, Zambry juga telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM700 juta untuk membina Lebuh Raya dari Segari ke Changkat Jering.
“Kami menerima aduan daripada rakyat iaitu pembantu khas Menteri Besar telah mengeluarkan surat sokongan supaya PTG meluluskan tanah berpuluh hektar kepada kroni-kroni mereka.
“DAP telah mendapat bukti ada surat sokongan itu dan rakyat perlu tahu adakah ini satu kebetulan apabila pegawainya beri surat sokongan meluluskan tanah pada masa sama, kerajaan luluskan peruntukan RM700 juta bina lebuh raya itu,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Wisma DAP di sini, semalam.
Kor Ming yang juga Setiausaha DAP Perak berkata, pihaknya mendapati hasil Kerajaan Negeri berjumlah RM117 juta sebahagian besar adalah premium tanah.
“Beliau (Zambry) perlu mengemukakan kepada rakyat berapa ribuan tanah diluluskan oleh Kerajaan Negeri sejak ‘rampasan kuasa’.
“Adakah kerajaan Barisan Nasional (BN) sedang menjual negeri kerana tahu pada pilihan raya akan datang, mereka ditolak oleh rakyat?
“Selain itu, di mana hasil 21 keping tanah komersial yang sebahagian besar di kawasan Lembah Kinta yang telah dikenal pasti kerajaan Pakatan Rakyat dulu,” katanya.
Menurutnya, DAP memutuskan untuk mengambil tindakan sekiranya Zambry tidak menjelaskan perkara berkenaan.
“Kita ada bukti yang disokong sendiri oleh pegawainya. Bagaimanapun, kita menunggu beliau menjelaskan isu-isu ini sebelum kita mengambil tindakan seterusnya. Kita akan kemukakan bukti ini pada masa yang sesuai,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan