Pengikut

Isnin, 23 Ogos 2010

PERAK NEWS: HORMATI BULAN POSE-DR LEE





Walaupun berbeza agama, masyarakat bukan Islam disaran supaya menghormati bulan puasa yang dijalankan umat Islam selain menyokong pelaksanaan ibadat itu.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, beliau sendiri tidak lupa mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada Muslimin dan Muslimat.

"Dalam suasana rakyat berbilang kaum ini, ia tidak menjadi halangan bagi saya untuk sama-sama meraikan dan menghayati setiap acara yang dijalankan oleh masyarakat Melayu.

"Malah boleh mendekatkan diri dengan budaya serta adat orang lain,” katanya ketika berbuka puasa bersama penduduk Kampung Pengkalan Baru di Masjid Al-Rahmaniah, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Teja, Chang Lih Kang.

Boon Chye berkata, beliau sendiri mempunyai ramai kenalan dalam kalangan umat Islam dan memahami serba sedikit bahawa berpuasa adalah medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur.

“Apa yang difahamkan, secara tidak langsung amalan berpuasa akan menyuburkan sikap murni dalam diri seseorang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau dan Lih Kang dapat menambah pengetahuan asas mengenai Islam selain mendekati rakyat sebagai pemimpin yang adil.

“Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.

"Inilah peluang terbaik untuk seluruh umat Islam meningkatkan potensi diri dalam bulan yang penuh cabaran ini,” katanya.

Di samping itu, kedua-dua pemimpin turut mendoakan agar keberkatan dan kesucian bulan ini dapat dihalusi dan dinikmati semua berdasarkan perkongsian, pengorbanan dan sumbangan yang diberikan kepada masyarakat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan