Pengikut

Jumaat, 13 Ogos 2010

PAS MINTA PKR SELESAIKAN ISU DALAMAN





Pas Perlis meminta PKR negeri menyelesaikan masalah kepimpinan parti itu dengan segera bagi membolehkan fokus Pakatan Rakyat (PR) untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak terjejas.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata, Pas enggan mencampuri urusan dalaman PKR, bagaimanapun menegaskan kepimpinan tertinggi PKR perlu menyelesaikannya secara dalaman bagi mengelakkan rakyat Perlis hilang kepercayaan terhadap keutuhan PR.

Menurutnya, Pas Perlis bersedia menerima sesiapa sahaja pemimpin utama PKR Perlis yang bakal dilantik oleh PKR Pusat di samping mengharapkan kerjasama yang lebih kukuh antara parti komponen PR.

“Pas terima sesiapa sahaja pemimpin PKR yang dilantik oleh PKR Pusat untuk mengemudi parti itu di Perlis, asalkan pemimpin itu mampu membentuk kerjasama kukuh dalam PR.

“Pas dengan PKR Perlis tiada masalah apa-apa sebelum ini, cuma kami minta agar berlakunya perubahan positif dalam jentera parti itu sekiranya pemimpin baru dilantik,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, beliau sukar hendak mentafsirkan sama ada peletakan jawatan Pengerusi PKR Perlis, Johari Shafie memberikan kesan buruk atau kesan baik kepada PR.

Menurutnya, sekiranya kepimpinan lama parti itu kurang mendapat sambutan ahlinya sendiri, perubahan pucuk kepimpinan parti mungkin dianggap langkah positif bagi menstabilkan kembali PKR Perlis yang ‘bergolak’.

“Bagaimanapun, persepsi itu saya serahkan kepada ahli dan penyokong PKR Perlis sendiri untuk menilai sama ada peletakan jawatan pengerusi parti memberi impak besar atau sedikit kepada hala tuju parti itu,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Timbalan Pengerusi II PKR Perlis, Dr Suraya Sudin yang mendakwa tindakan Johari dan Bidin meletak jawatan masing-masing berkuat kuasa 3 Ogos lalu adalah disebabkan masalah perebutan jawatan antara dua kumpulan.

Tindakan Johari itu juga dilihat sebagai tanda protes terhadap tindakan beberapa pemimpin akar umbi, termasuk Ketua Cabang Arau, Hashim Bakar yang cuba mendesaknya agar digantikan dengan pemimpin lain kerana didakwa masih baru dalam politik.


1 ulasan:

  1. Selesaikan Yob. Jangan tak selesai. Jangan sebab nila setitik abih susu sebelange.

    BalasPadam