Pengikut

Isnin, 16 Ogos 2010

SKANDAL SEKS TIM MENTERI SATU TOHMAHAN?





Polis akan menyiasat laporan kononnya seorang Timbalan Menteri merupakan dalang kegiatan pelacuran walaupun Pengarah Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berpendapat ianya satu tohmahan.

Mohd Bakri berkata beliau menganggap laporan itu sebagai satu tohmahan kerana ia bukannya dibuat oleh mangsa sendiri tetapi oleh orang ketiga yang mendakwa mendapat emel daripada mangsa.

"Kita tidak tahu siapa mangsa yang didakwa itu. Namun kita akan tetap menyiasat, dan jika perkara itu betul, kita akan lakukan tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Isnin ketika mengulas mengenai laporan yang dibuat oleh seorang ahli politik pada 14 Ogos lepas mendakwa timbalan menteri itu terlibat dalam kegiatan pelacuran kelas atasan termasuk membekalkan gadis terdiri pelajar kolej bagi tujuan tidak bermoral.

Ahli politik terbabit membuat laporan polis berdasarkan surat dan emel yang diperoleh daripada seorang gadis yang mendakwa menjadi mangsa timbalan menteri itu, yang turut didakwa terlibat dalam kegiatan dadah dan menggalakkan gangsterisme sekitar tahun 2000 dan 2001.

Mohd Bakri berkata polis belum bercadang untuk memanggil Timbalan Menteri berkenaan untuk memberikan keterangan.

"Kita kena tengok dahulu adakah laporan itu berunsur tohmahan atau tidak dan baru kita membuat keputusan. Kita kena kenal pasti mangsa seperti yang didakwa terlebih dahulu," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan