Rakyat Sarawak tidak seharusnya melihat pilihan raya negeri akan datang sebagai satu pesta ataupun medan untuk menilai populariti, kata Ketua Menteri, Abdul Taib Mahmud hari ini.
Katanya, sebarang keputusan yang dibuat rakyat semasa pilihan raya akan datang menjadi penentu kepada hala tuju negeri ini pada masa akan datang.
Pilihan raya, katanya, bukanlah semata-mata untuk memilih calon yang disukai sahaja kerana wujud perkaitan di antara pilihan rakyat dengan kemajuan yang akan datang ke negeri ini.
Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan tamat Jun tahun depan dan pembubarannya bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dijangka dilakukan pada bila-bila masa dari sekarang.
Taib yang akan genap 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak menjelang Mac tahun depan, berkata pilihan raya akan datang harus dilihat sebagai peluang bagi rakyat biasa untuk mencapai impian masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
"Pastikan orang yang mereka mahu undi berupaya untuk berkhidmat, berupaya untuk melakukan dan membangunkan negara yang boleh membawa kemakmuran kepada anak-anak mereka," katanya.
Katanya, Sarawak masih lagi memerlukan kestabilan politik dan perpaduan rakyat sebagai asas bagi memastikan usahanya mencapai kemajuan lebih tinggi.
"Kalau kita sayangkan negeri ini, pandai-pandailah kita berunding membuat pilihan," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan