Seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), M.S Arjunan pada Khamis membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi satu panggilan telefon, petang Rabu.
Setiausaha PKR Ipoh-Barat itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield di sini.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Arjunan berkata beliau membuat laporan polis itu kerana khuatir terjadi sebarang perkara yang tidak diingini terhadap diri dan anggota keluarganya.
Beliau mendakwa menerima panggilan tersebut kira-kira pukul 3.39 petang Rabu dari seorang lelaki berbangsa India yang tidak dikenali yang memaki serta mengugut untuk membunuhnya dan keluarganya.
Sabtu lepas, Arjunan membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahterana Bandar Datuk M. Saravanan mendakwa timbalan menteri itu terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan gangsterisme di Brickfields.
Beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh terhadap dakwaannya itu namun ia diberikan kepada peguamnya untuk didedahkan setelah kes tersebut dibawa ke mahkamah.
Sementara itu Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata selagi Arjunan tidak kemukakan bukti yang dimiliknya, selagi itu juga polis tidak dapat teruskan siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan