Pengikut
Jumaat, 27 Ogos 2010
SAYA TIDAK AKAN LETAK JAWATAN
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Agama Islam Negeri, Abdul Malik Abul Kassim menafikan dakwaan beliau tidak berjaya menangani kontroversi penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat.
Menurutnya, gesaan untuk beliau meletak jawatan apabila enggan bertanggungjawab dengan kontroversi itu tidak berasas malah ia satu kejayaan baginya apabila tidak berjaya mengikut telunjuk UMNO yang sengaja membesarkan isu itu.
“Ya, saya tidak berjaya mengikut telunjuk UMNO yang membuat pelbagai tuduhan dan spekulasi berhubung isu ini sedangkan ia pada saya bukan satu kesalahan apabila seorang khatib mendoakan kesejahteraan dan hidayah kepada Ketua Menteri.
“Jika perkara ini satu kesalahan, sudah lama masyarakat melenting dan ‘bising’ kerana ia berlaku dah lama, kenapa tak bising sejak Februari lepas, kenapa baru sekarang nak bangkitkan isu ini? Jelas, isu ini diberi perhatian apabila ia dibangkitkan oleh UMNO, jika tidak ia tidak menjadi masalah,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, keresahan pada isu khutbah solat Jumaat itu hanya dibangkit oleh segelintir pihak yang mempunyai agenda sahaja dan ia terdiri daripada jumlah yang sangat kecil.
“Golongan inilah yang memperbesarkan isu ini sehingga menimbulkan keresahan masyarakat dengan tujuan memporak peranda hubungan yang terjalin antara kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dengan rakyat di negeri ini.
“Saya anggap perkara ini sudah selesai dengan pengakuan Ustaz Zakaria semalam namun saya masih berpegang kepada perkara yang dilakukan itu berdoa untuk Guan Eng itu tidak salah kerana beliau bukan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuan Mizan Zainal Abidin seperti yang didakwa cuma mendoakan Guan Eng diberi hidayah,” katanya.
Malik berkata, pihaknya akan memantau dengan lebih teliti pada khatib jemputan mahupun khatib tempatan yang ingin memberi khutbah Jumaat selepas ini bagi mengelak perkara sama berulang.
“Kita akan pantau dan akan pastikan khatib yang berwibawa memberi khutbah supaya insiden ini tak berulang,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan