Pengikut

Rabu, 11 Ogos 2010

39 TERMASUK AHLI POLITIK DISOAL ISU BANNER






Polis telah mengambil keterangan ke atas 39 individu termasuk ahli politik berhubung penggunaan gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada kain rentang di sebuah majlis ceramah di Batu Pahat, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya turut menerima sembilan laporan polis daripada pelbagai pihak berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, satu pasukan khas diketuai oleh Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris turut ditubuhkan dan dibantu Cawangan Khas bagi menyiasat kes berkenaan.

"Sehingga kini, kita masih menyiasat secara terperinci, bagaimanapun masih tidak mengetahui pihak yang bertanggungjawab.

"Selain ahli politik, kita juga telah mengambil keterangan daripada syarikat pencetakan dan beberapa individu lain bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Sultan Ibrahim murka berhubung penggunaan gambar Sultan Johor itu pada kain rentang yang dianggap cuba mengheretnya ke kancah politik.

Kain rentang berkenaan memaparkan gambar Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tertera ayat 'PKR Johor menyokong penuh Datuk Chua Jui Meng sebagai Pengerusi PKR Johor dan Calon MB Johor'.

Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya memandang serius kes berkenaan dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan institusi diraja bagi kepentingan politik.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut diminta tampil kehadapan bagi membantu siasatan yang dibuat di bawah Akta Hasutan 1948.

1 ulasan:

  1. Ini adalah satu kerja provokasi tajaan UMNO. Kerana:

    1. Meletakan pemimpin2 PKR beesama2 Sultan adalah sama sekali tak logik.
    2. Menamakan Chua Jui Meng sebagai calun MB hanyalah bertujuan untuk membangkitkan kemarahan orang2 melayu. PKR tak mungkin bagitu celaru untuk tembak kaki sendiri.

    BalasPadam