Pengikut

Khamis, 5 Ogos 2010

MENTERI BESAR CABAR MENTERI BESAR






Zambry Abdul Kadir mencabar PR membuktikan Kerajaan Negeri sama ada dakwaan berhubung RM104 juta itu wujud atau sebaliknya.

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan pembangkang seolah-olah kedudukan kewangan yang dialami tidak kukuh ketika Barisan Nasional memerintah negeri ini.

Zambry berkata, jumlah defisit RM104 juta (RM80 juta campur RM23.89 juta defisit diluluskan sebelum ini) yang dibimbangkan itu sebenarnya adalah lebihan peruntukan yang berjaya dijana berikutan pertambahan hasil Kerajaan Negeri sebanyak RM117.26 juta dicatatkan hingga Julai lalu.

“Hakikatnya, RM80 juta itu bukan diambil daripada rizab Kerajaan Negeri tetapi diperolehi dari sumber luar jangka kesan daripada kecekapan pentadbiran kerajaan menjana pendapatan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, semalam.

Beliau berkata, ADUN Pasir Panjang, Datuk seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin juga bertindak keterlaluan.

“Nizar menjadikan Dewan yang diadakan kelmarin seperti pentas untuk ceramah politiknya apabila soal bajet dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata, segala wang yang diperolehi adalah hak milik rakyat dan Kerajaan Negeri harus menyatakan perkara sebenar kepada semua tanpa berselindung.

“Sebenarnya, RM30 juta digunakan untuk tujuan pentadbiran dan pembangunan, khususnya yang berkaitan kepentingan rakyat. Tujuan aktiviti kemasyarakatan, keagamaan, pendidikan, sosioekonomi, pembangunan Orang Asli dan sebagainya.

“Manakala RM50 juta pula digunakan untuk tujuan pelaburan untuk mendatangkan hasil dalam negeri. Mungkin dalam masa lima tahun Kerajaan Negeri menerima pulangan berganda melalui pelaburan yang dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Zambry menasihatkan pembangkang supaya menghentikan segala pembohongan dan fitnah yang tidak berasas kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan