Pengikut

Jumaat, 19 Februari 2010

LETAK JAWATAN : APA STRATEGI YB AZAN






Muktahir ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) terjerat ke dalam kemelut dalam dan luar parti. Arus "lompat parti" semakin menderas apabila pemimpin seperti ahli parlimen Bayan Baru, Zahrain Hashim (gambar bawah) memutuskan untuk keluar parti.



Namun, di sebalik fenomena "lompat-melompat" ini, wujudnya segelintir politikus yang cuba menangguk di air keruh, dengan strategi "maju dengan undur". Mereka cuba menarik perhatian dengan meluahkan "ketidakpuasan", lantas menunggu "harga" yang dinilaikan terhadap dirinya.



Ahli parlimen PKR Indera Mahkota, Azan Ismail dianggap sebagai orang yang handal dalam hal ini.



Cabaran terhadap Fauzi



Sebagaimana yang diketahui umum, perletakan jawatan Azan Ismail sebagai Timbalan Pengerusi PKR Pahang pada akhir bulan Januari berkait rapat dengan Pengerusinya, Fauzi Abd Rahman. Pada hakikatnya, perselisihan antara mereka berlaku sejak awal lagi, cuma bukan "secara terbuka".



Langkah Azan ini dibaca orang luar sebagai cabaran terhadap Fauzi. Azan memilih untuk "mengundur", tetapi ianya sebenar "selangkah ke depan". Keputusan ini membuka tirai untuk silat politik dengan Fauzi selanjutnya. Perletakan jawatan Azan terbukti "berstrategi", apabila beliau hanya melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Negeri, tetapi kekal sebagai Ketua Cabang (bahagian) Indera Mahkota, membuka laluan kepada dirinya untuk PRU yang akan datang.



Perletakan jawatan Azan adalah soal "bila" sahaja, malah pencetusnya dikatakan berkaitan dengan pengaturan aktiviti ceramah Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim di Kuantan sebelumnya. Sebagaimana yang diketahui, ahli jawatankuasa tidak berunding dengan Azan berhubung dengan pengaturan dari segi tempat duduk, jawatan dan sebagainya, menyebabkan beliau merasakan dirinya terpinggir.




Lebih-lebih lagi, beliau sudah lama tidak berpuas hati terhadap Pengerusi Pahang, maka beliau memilih untuk berundur.



Untuk anggota PKR yang mengenali Azan, mereka tidak terperanjat dengan perletakan jawatan Azan, kerana beliau sudah lama menyatakan niatnya untuk meletak jawatan Timbalan Pengerusi Pahang.



Perkhidmatan yang kurang memuaskan




Azan Ismail, 44, berjaya menewaskan calon UMNO-BN, Solomon Ali Rizal Abd Rahman di kawasan parlimen Indera Mahkota pada PRU ke-12 dengan undi majoriti 1,027. Ramai orang mengetahui bahawa Azan tidak berkhidmat secara bersungguh-sungguh untuk pengundi kawasan tersebut. Malah, sesetengah pengundinya tidak tahu di mana letaknya pusat perkhidmatan Azan.



Oleh yang demikian, sebelum Azan (gambar kanan) mengumumkan perletakan jawatannya, khabar angin tersebar bahawa Azan mungkin hanya "wakil rakyat sepenggal", dan tidak akan diberi laluan pada PRU ke-13. Pimpinan tertinggi parti sedang mencari calon yang lebih sesuai untuk menggantikan Azan pada masa depan.



Jadi, Azan dipercayai mengambil langkah terlebih dahulu untuk membuktikan "nilai" yang masih ada pada dirinya, dan cuba menyampaikan mesej kepada parti agar tidak "menggugurkannya" sesuka hati.



Menurut sumber dalaman PKR Pahang, sebelum Azan mengumumkan perletakan jawatan Timbalan Pengerusi Pahang dalam sidang media, beliau telah meletakkan jawatan secara rasminya dalam mesyuarat parti. Perletakan jawatan ini direstui dan diangguk oleh pimpinan tertinggi. Tiada rayuan agar Azan menarik balik keputusannya.



Namun, beliau kemudiannya menyatakan "ketidakpuasannya" terhadap pentadbiran partinya sebagai punca perletakan jawantannya dalam sidang media. Tindakannya mencungkil ketidakpuasan pimpinan parti, yang bertanggapan bahawa sebarang ketidakpuasan harus dikemukakan dalam mesyuarat, dan bukannya menyebar melalui media kerana ia akan menjejaskan imej parti.



Setelah berita "perletakan jawatan" ini diperbesarkan oleh media, malah dilanjutkan khabar bahawa Azan mungkin meletak jawatan ahli parlimen, barulah Azan tampil untuk menafikannya, malah mendakwa bahawa Anwar Ibrahim sudah maklum tentang perkara ini. Kemudian beliau menjelaskan bahawa dirinya meletak jawatan Timbalan Pengerusi kerana diberi amanah untuk memantapkan parti di peringkat pusat.



Meningkatkan harga diri



Perletakan jawatan Azan menjadi tumpuan media, terutamanya apabila beliau sendiri mendedahkan bahawa beliau ditawarkan parti lain untuk "menyeberang". Keadaan sedemikian membuatkan nama dirinya lebih "terkenal", malah menjadi fokus media. Pada masa yang sama, beliau mencapai "kesan" yang diingini.



Pada hakikatnya, Azan telah "menyelidik pasaran" untuk mengetahui "harga dirinya", maka strategi ini agak "kena pada tempatnya". Beliau dianggap sebagai politikus yang handal "bermain" dalam pencaturan politik mengikut konteks Malaysia.



Strategi Azan ini berjaya menggegarkan Fauzi. Walau bagaimanapun, Azan kelihatan masih taat kepada PKR, malah dijangka tidak akan meninggalkan kubunya kerana masih mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Indera Mahkota. Pada masa kini, beliau hanya mahu kewujudan dirinya dirasai orang umum, malah membuktikan kepada Fauzi bahawa pengaruh dan karismanya tidak kurang daripada Fauzi.



Parti masih menilai



Melihat kepada senario sekarang, Azan berjaya mengembalikan "maruah" dirinya dalam pusingan ini. Namun, sama ada tindakan ini dinilaikan secara positif atau negatif oleh pimpinan tertinggi parti, ia terpulang kepada masing-masing. Apakah tindakan "merajuk" ini berjaya menempah tiket untuk dirinya dalam PRU ke-13?



Pimpinan tertinggi semestinya sedang menilai apa yang berlaku. Seandainya pimpinan parti merestui apa yang dilakukan oleh Azan, kerana untuk meredakan keadaan, ia sebenarnya memberi laluan kepada pemimpin lain yang cuba mencedok tingkahlaku Azan.



Malah, perlu diingatkan bahawa Fauzi adalah orang rapat Anwar Ibrahim, yang dilantik oleh Anwar sebagai Pengerusi PKR Pahang. Kedua-dua mereka yang sudah lama bergelut di gelanggang politik semestinya menyedari tujuan Azan yang sebenarnya.



Jadi, apakah strategi Azan betul-betul "mujarab"? Tirai belum dilabuhkan lagi...


*Lau Zi Ern ialah penganalisa politik. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan