Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyelar tindakan beberapa anggota Parlimen Australia untuk campur tangan dalam kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya beliau mahu perkara itu diselesaikan mengikut sistem kehakiman negara ini tanpa dipengaruhi oleh mana-mana anasir luar.
"Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia, saya mahu negara kita menjadi sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlulah kepada campur tangan asing apatah lagi dari negara-negara barat, negara bukan Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan himpunan pemuda Islam Kuala Terengganu di Kuala Ibai dekat sini.
Abdul Hadi bagaimanapun berkata Pas tidak bercadang untuk mengemukakan sebarang bantahan berhubung campur tangan anggota Parlimen Australia itu.
Mengenai cadangan Pas untuk menjalin kerjasama dengan Umno dalam isu-isu keselamatan, ekonomi, agama dan politik, Abdul Hadi berkata Pas sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk muzakarah dengan Umno.
"Kita bersikap positif sepanjang masa dalam perkara yang positif, yang baik dan kita akan bekerjasama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan