"Saya mohon maaf dan menyesal tinggalkan keluarga dan pergi (ke Lombok) tanpa izin keluarga." Demikian kata pelakon remaja, Salsabila Yunan, 15, atau Bella, sejurus tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari Lombok, Jawa Tengah, Indonesia petang tadi selepas tujuh bulan dilarikan teman lelakinya yang berasal dari situ.
Bercakap kepada pemberita, Bella yang pernah membintangi beberapa drama tempatan termasuk "Gerak Khas" dan "Renjis", memohon maaf dan menyesal meninggalkan keluarga tanpa izin mereka.
"Saya berasa gembira dapat pulang ke tanah air namun agak sedih sedikit kerana suami tak dapat ikut sama, lebih-lebih lagi apabila saya sudah hamil lima bulan," katanya.
Sementara itu, Yunan berkata, beliau tidak menjangka dapat menemui kembali anaknya setelah mengetahui dia berada di Lombok bersama suaminya.
Menurutnya, beliau akan berusaha agar Bella dapat menyambung pelajarannya kembali sehingga sekurang-kurangnya ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bella dikatakan dilarikan teman lelakinya, Hafiz Sukma, 26, ke Lombok 7 Ogos tahun lalu sebelum bernikah di sana.
Yunan berkata, beliau tidak lena tidur setiap malam kerana sering memikirkan keadaan anaknya itu, terutama setelah mendengar pelbagai berita mengenai kesusahan hidup di sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan