Pengikut

Isnin, 22 Februari 2010

UMNO GUNA 2B






Badan Perhubungan Umno Kelantan kini melipatgandakan usaha untuk menawan kembali negeri itu daripada PAS dengan menggunakan pendekatan 2B - bersaing (berkawan) dan berbakti, kata Datuk Seri Mustapa Mohamad.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata dengan strategi itu, pasukan gerak kerja yang akan ditubuhkan akan berusaha mendekati dan berkomunikasi dengan rakyat dalam pelbagai cara termasuk menggunakan media baru manakala berbakti pula adalah konsep berkhidmat untuk rakyat.


Contohnya, kata beliau, dengan pelancaran Facebook beliau hari ini dapat dijadikan wadah untuk beliau mendekati rakyat terutama golongan muda untuk berkongsi isu nasional, mendengar cadangan rakyat bagaimana dapat perbaiki prestasi dalam Umno dan kerajaan.


"Ini satu saluran baru, kalau dulu kita bincang dengan pegawai secara rasmi...dengan ini saya harap akan dapat tarik lebih ramai peminat saya di seluruh Malaysia," katanya kepada pemberita selepas perasmian laman Facebooknya di kediaman beliau di sini Ahad malam.


Ditanya mengenai kenyataan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa BN tidak mungkin dapat menawan Kelantan, beliau berkata sekarang sudah ada tanda-tanda yang rakyat semakin tidak puas hati dengan kerajaan Pas yang memerintah.


Ini kerana walaupun sudah memerintah selama 20 tahun sudah ada tanda kerajaan PAS mengalami keretakan dalaman seperti yang didedahkan oleh media akhir-akhir ini.


"Kita dapat tahu ada pelbagai masalah dalaman seperti ketidakmampuan memerintah Kelantan walau dah lebih 20 tahun, kronisme, nepotisme, rasuah dan sebagainya, saya rasa mereka sedang alami fasa 'political fatigue' (keletihan politik) jadi kita rasa dapat ambil peluang daripada kelemahan ini.


"Buktinya apabila kita mendapat sambutan ceramah umum, seramai 5,000 hadir, iaitu rekod baru daripada sebelum ini...bukan bermakna kita yakin dapat tawan semula tetapi sudah ada tanda-tanda perubahan," katanya.


Katanya apa yang penting rakyat Kelantan juga perlu diyakinkan bahawa kerajaan ikhlas dalam membantu mereka mendapatkan wang ihsan (dari hasil minyak) sekaligus dapat membantu rakyat miskin di negeri itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan